Gambar hiasan

MASYARAKAT sering mengumpamakan rasuah sebagai satu penyakit barah yang sekiranya tidak diubati, ia akan terus merebak dan meruntuhkan peradaban sesebuah negara. Kes rasuah terbaru yang menggemparkan negara adalah kes Bekas Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng. Beliau telah dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 7 Ogos 2020 atas
tuduhan meminta rasuah sebanyak 10% daripada keuntungan yang akan diperolehi dari projek terowong dasar laut di Pulau Pinang. Sekiranya didapati bersalah, beliau boleh disabitkan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Dalam kebanyakkan kes yang dilaporkan, hanya penerima dan peminta rasuah sahaja dituduh. Namun begitu, tidak bermakna mereka yang memberikan rasuah atau yang menyembunyikan maklumat berkaitan rasuah akan terlepas dari sebarang tindakan undang-undang. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menggiatkan usaha mereka untuk membanteras jenayah ini termasuklah memberikan panduan yang berterusan kepada orang awam. Rasuah adalah aktiviti penerimaan atau pemberian suapan seperti wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah dan diskaun sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan ini juga turut dikenali dalam kalangan masyarakat
sebagai “duit kopi”, “sumbangan”, dan “derma”.

Terdapat empat kesalahan utama berkaitan rasuah dinyatakan dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) (Akta 694). Kesalahan-kesalahan tersebut adalah meminta atau menerima rasuah (seksyen 16 & 17(a)), menawar atau memberi suapan (seksyen 17(b)), mengemukakan tuntutan palsu (Seksyen 18), dan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan pegawai badan awam (Seksyen 23). Bagi kesalahan menetapkan perbuatan memberi atau menawarkan rasuah di bawah Seksyen 17 (b) dan kesalahan menerima rasuah di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, hukuman yang diperuntukkan adalah penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan jika suapan dapat dinilai atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Kesungguhan kerajaan untuk menghapuskan jenayah rasuah ini jelas kelihatan apabila Seksyen 17A Akta SPRM 2009 (Pindaan 2018) telah dikuatkuasakan pada 1 Jun 2020. Kesalahan ini diperkenalkan bagi menggalakkan organisasi komersial dan korporat menjalankan perniagaan secara berintegriti dan bebas dari rasuah. Sekiranya terdapat salah laku rasuah dilakukan oleh individu berkaitan organisasi tersebut seperti pekerja, ejen,
kontraktor dan pembekal, organisasi tersebut boleh dihukum kerana dianggap mempunyai liabiliti. Jika disabitkan, is boleh dihukum dengan denda tidak kurang 10 kali ganda daripada
nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi atau dipenjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdapat juga peruntukkan undang-undang yang membolehkan seseorang didakwa jika gagal melaporkan sebarang kesalahan rasuah kepada pihak berkuasa. Individu tersebut boleh
dituduh dibawah Akta SPRM 2009 iaitu dibawah Seksyen 25 (1) dan (2) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000  dan penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Seksyen 25 (3) dan (4) pula memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 2 tahun atau kedua-duanya sekali jika gagal melaporkan sebarang permintaan atau memperoleh suapan.

Oleh itu, telah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk bersama-sama membanteras jenayah rasuah dan tidak boleh menyerahkan tugas ini sepenuhnya kepada kerajaan. Masyarakat tidak perlu bimbang tentang keselamatan diri dan keluarga sekiranya bekerjasama dengan pihak berkuasa kerana maklumat pengadu adalah rahsia dan akan dilindungi sepenuhnya dari didedahkan kepada mana-mana pihak dibawah Akta SPRM 2009, Akta perlindungan Saksi 2009, dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

Oleh:Dr. Zuraini Ab Hamid.
Penulis ialah Pensyarah Undang-undang, Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)