Rukun negara

MUTAKHIR ini semua orang mula bercakap tentang Rukun Negara kerana tahun ini kita menyambut ulang tahun ke-50 Pengisytiharan Rukun Negara. Lantas penulis terfikir, apakah kita akan mengingati mahupun bercakap tentang Rukun Negara seperti ini jika bukan kerana sambutan ulang tahun tersebut? Jawapannya ada pada diri kita masing-masing.

Ironinya, Rukun Negara bukanlah perkara baharu dalam kehidupan rakyat negara ini kerana sejak kecil lagi kita telahpun didedahkan dengan lima prinsip Rukun Negara termasuklah ianya dicetak di bahagian belakang buku nota atau latihan sekolah. Namun apa yang menjadi persoalannya sekarang ialah, walaupun sudah berusia 50 tahun, sejauh mana rakyat kita terutamanya generasi muda hari ini memahami kepentingan Rukun Negara serta mampu menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian mereka?

Jujurnya penulis sangat yakin dan percaya majoriti anggota masyarakat kita sekadar membaca atau melafazkan ikrar Rukun Negara semata-mata untuk memenuhi keperluan sesuatu program atau majlis sahaja. Pada masa yang lain mereka hampir tidak mempedulikan kewujudan Rukun Negara ini. Senario ini membuktikan kegagalan kita dalam menghayati kepentingan Rukun Negara. Walaupun kita tahu adanya Rukun Negara sejak kecil lagi, namun terdapat kelemahan yang ketara dalam aspek penghayatan dan amalan.

Justeru perlu ada inisiatif berterusan untuk memastikan semua anggota masyarakat terutamanya anak-anak muda negara ini agar dapat terus berpaut kepada Rukun Negara pada sepanjang masa sebagai panduan hidup dalam masyarakat majmuk di negara ini. Ringkasnya, mereka perlu memahami, menghayati dan mengamalkan kelima-lima prinsip Rukun Negara yang begitu dalam maksudnya. Penghayatan secara mendalam itu sangat penting kerana ianya boleh membantu menyelesaikan pelbagai masalah dan konflik yang berlaku dalam masyarakat kita terutamanya membabitkan isu-isu sensitif dan perhubungan antara kaum.

Lima prinsip yang bertindak sebagai tiang seri dan panduan hidup masyarakat majmuk negara ini iaitu, kepercayaan kepada tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, dan kesopanan dan kesusilaan wajar menjadi formula mujarab untuk menangani pelbagai krisis yang berlaku dalam masyarakat kita. Maksud tersirat yang terkandung dalam kelima-lima prinsip ini cukup signifikan dan ianya boleh membantu membentuk dan mewujudkan sebuah bangsa Malaysia yang sayangkan negara, bertanggungjawab, bertolak ansur serta saling bekerjasama untuk memajukan negara tercinta ini.

Dalam konteks ini penulis bersetuju dengan cadangan Kementerian Perpaduan Negara agar pelajaran mengenai Rukun Negara dimasukkan ke dalam sistem pendidikan negara bermula dari tadika hingga ke peringkat tinggi. Sata usaha yang
baik, cuma apa yang diharapkan ialah, kita perlu memastikan anak-anak ini tidak membaca Rukun Negara hanya untuk lulus peperiksaan semata-mata. Perlu ada perancangan yang teliti agar elemen pendidikan dan penghayatan terhadap Rukun Negara itu diadunkan dan disesuaikan dalam silibus mata pelajaran yang betul supaya mereka bukan sahaja membaca sebab perlu membaca, sebaliknya boleh tertarik untuk mendalami maksud tersirat semua prinsip Rukun Negara tersebut, sekaligus mampu menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian sejak kecil lagi. Jika ini dapat direalisasikan, kita mampu melahirkan generasi masa depan yang cakna dengan masalah masyarakat, kuat nilai patriotisme dan jati diri, sanggup berkorban untuk agama, bangsa dan negara, sekaligus memajukan negara ini mengikut acuan kita sendiri.

Jangan lupa, perpaduan adalah nadi kekuatan negara kita di mana kunci kepada perpaduan itu terletak pada Rukun Negara dan semangat perpaduan itu perlu berputik dalam diri setiap individu anggota masyarakat secara jujur dan ikhlas. Hakikatnya setiap warganegara perlu memikul tanggungjawab untuk menghayati dan mengamalkan Rukun Negara dalam kehidupan seharian kita. Ini adalah tanggungjawab kita terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara secara keseluruhannya.

Noor Mohamad Shakil Hameed
Penganalisis Isu Semasa