The Citizens kendalian Pep Guardiola melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah musim ini selepas menundukkan juara bertahan Real Madrid dengan agregat 4-2 dalam aksi kalah mati awal pagi tadi.

LONDON – Manchester City mengubati kekecewaan gagal menjulang Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, menundukkan Real Madrid untuk melangkah ke suku akhir saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Dalam aksi di Stadium Etihad awal pagi tadi, skuad Pep Guardiola memulakan aksi tanpa penyerang superstar mereka Sergio Aguero.

Mereka mempamerkan aksi bertenaga menewaskan pasukan tetamu gergasi La Liga Real Madrid 2-1 sebelum menang dengan agregat 4-2.

Real Madrid yang berkunjung ke Manchester dengan misi mengubah defisit 1-2 dalam aksi pertama sebelum pandemik Covid-19 bagaimanapun gagal.

Kini Skuad Pep Guardiola akan berdepan Lyon yang telah mengejutkan juara bertahan Serie A Itali, Juventus dengan agregat 2-1 dalam satu lagi aksi kalah mati awal pagi tadi.

Gol pertama Man City dijaringkan oleh Raheem Sterling pada minit ke-9 hasil hantaran Gabriel Jesus.

Namun juara bertahan musim lalu, Los Blancos yang tidak menjangkakan gol awal itu berjaya bangkit daripada ketinggalan sebelum menyamakan kedudukan menerusi Karim Benzema pada minit ke-18.

Namun misi skuad Zidane untuk mencari gol kemenangan terus buntu dan dipatahkan dengan kekebalan bek pertahanan dan aksi taktikal menyerang yang dipamerkan Man City sebelum kedudukan terikat 1-1 di babak pertama.

Tetapi nasib tidak menyebelahi skuad pengunjung apabila gagal menyekat kelincahan penyerang sensasi Man City Gabriel Jesus di atas padang.

Bek pertahanan Madrid yang dianggap antara terbaik dunia gagal menyekat kemaraan Gabriel Jesus dan Man City apabila pemain itu berjaya menjadi pemusnah pasukan Zidane dengan menjaringkan gol kedua Man City pada minit ke-68.

Ia sekaligus meranapkan harapan Real Madrid untuk melangkah ke suku akhir kempen musim ini.

Kesilapan Rafael Varane di bek pertahanan telah menghukum juara La Liga Real Madrid kali ini.- MalaysiaGazette