Pesawat A380 milik Malaysia Airlines di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja pemulihan landasan ketiga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk memastikan keselamatan berterusan bagi operasi penerbangan telah selesai, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pengendali lapangan terbang itu berkata, kerja-kerja penyelenggaraan menyeluruh dijalankan mengikut Pelan Induk Kemampanan Landasan KLIA.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, walaupun langkah kawalan kos dilaksanakan secara agresif susulan kesan COVID-19 terhadap industri penerbangan namun pihaknya meneruskan pelaburan misi penting seperti penggantian aset lama serta kerja-kerja pemulihan landasan.

“Penyiapan kerja-kerja pemulihan di Landasan 3 itu adalah tepat pada masanya seiring dengan kita mulai menyaksikan keyakinan semakin bertambah terhadap keselamatan perjalanan udara dan jumlah trafik meningkat tiga kali ganda dibandingkan pada bulan-bulan sebelumnya.

“Kami juga akan memulakan fasa kedua Pelan Induk Kemampanan Landasan iaitu dengan kerja-kerja di Landasan 1 akan bermula dari November 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerja-kerja pemulihan adalah merangkumi terutama kerja-kerja penurapan dan menambah baik panyaliran bagi permukaan landasan.

MAHB berkata, untuk memastikan kelancaran operasi penerbangan sepanjang masa, pihaknya mengadakan sesi libat urus berkala dengan pihak berkepentingan seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), syarikat-syarikat penerbangan dan syarikat pengendalian darat yang beroperasi di KLIA.

“Sebaik sahaja selesai kerja-kerja penyelenggaraan, CAAM telah melakukan kerja-kerja penentukuran dan pemeriksaan untuk menilai kesediaan infrastruktur serta memastikan landasan tersebut memenuhi semua garis panduan keselamatan dan peraturan antarabangsa untuk operasi penerbangan,” menurutnya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast