PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat tiga lagi kes positif telah dikesan dalam Kluster Kurau di Perak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif itu telah dikenalpasti hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat kes positif kluster tersebut.

Jelas beliau, sehingga kini, Kluster Kurau telah melibatkan dua buah negeri iaitu Perak dan Pulau Pinang.

“Mereka merupakan ahli keluarga kes pertama kluster itu iaitu kes ke-9050 melibatkan adik, biras dan anak saudara beliau yang berumur dua tahun. Kes pertama telah mempunyai kontak rapat dengan kesemua kes baharu ini semasa aktiviti kunjung-mengunjung menjelang Hari Raya Aidiladha iaitu pada 30 Julai lalu.

“Anak saudara kes ke-9050 iaitu kes ke-9093 didapati mempunyai gejala demam dan selesema sejak 30 Julai lalu. Sementara itu, adik dan biras kes ke-9050 tidak mempunyai sebarang gejala dan tiga kes baharu ini telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak,” katanya pada sidang media di KKM di sini hari ini.

Noor Hisham menambah, sehingga kini, seramai 125 orang telah disaring dalam Kluster Kurau dan daripada jumlah itu, lima kes dikesan positif, 112 negatif dan lapan individu masih menunggu keputusan.

Jelas beliau, pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan dan punca jangkitan masih di dalam siasatan.

“Kluster Sivagangga dan Kluster Kurau merupakan dua kluster yang didapati mencatat pertambahan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini terutamanya selepas musim perayaan.

“Siasatan yang telah dijalankan melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif dan juga saringan ke atas kontak rapat kes, mendapati bahawa penularan jangkitan Covid-19 dalam kedua-dua kluster ini sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh aktiviti kunjung-mengunjung semasa musim perayaan.

“Kebanyakan kes positif kedua-dua kluster ini adalah terdiri daripada ahli keluarga. Golongan warga emas dan juga kanak-kanak turut termasuk dalam kes-kes positif dalam kluster ini, iaitu dalam lingkungan umur dua  hingga 70 tahun.

“Aktiviti kunjung-mengunjung walaupun kini dibenarkan namun
masih tertakluk kepada SOP (prosedur operasi standard). Penjarakan fizikal yang selamat sesama individu sewajarnya diamalkan di semua tempat termasuk di antara ahli keluarga dan sanak saudara.

“Individu yang tidak sihat atau bergejala tidak sepatutnya
mengunjungi atau menyertai sebarang kenduri-kendara dan
perayaan,” katanya. – MalaysiaGazette