Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO telah mencadangkan Ketua Pemuda Tanjung Malim, Mohd. Amin Othman sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim kepada pimpinan tertinggi parti.

Ketua Pemudanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu mengambil kira tindakan yang sama dilakukan pada PRK Chini baru-baru ini.

Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya akan akur dengan apa jua keputusan pimpinan tertinggi parti untuk menentukan calon yang sesuai untuk PRK Slim.

“Kami telah mencadangkan Mohd. Amin yang juga Exco Pergerakan sebagai calon daripada Pemuda UMNO kepada pimpinan  tertinggi. Bagaimanapun kami akur dengan apa jua keputusan nanti.

“Kami telah memberi cadangan sama seperti di PRK Chini agar anak muda dipilih sebagai calon,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat bulanan sayap UMNO itu di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Barisan Nasional (BN) dijangka mengumumkan calonnya pada 12 Ogos ini dalam usaha mempertahankan kerusi DUN Slim.

Mengenai persiapan PRK, Asyraf menjelaskan, Pemuda UMNO telah menggerakkan jentera pilihan raya DUN itu yang diketuai Ketua Pemuda UMNO Perak, Mohd Ariff Abdul Majid.

Jelas beliau, pihaknya juga telah meletakkan semua Ketua Pemuda Bahagian di negeri itu di Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebagai bahagian angkat.

“Fokus kami adalah untuk menarik keluar anak muda di PDM selain anak muda yang berada di luar kawasan untuk balik mengundi,” katanya.

Sementara itu, PRK DUN Slim akan diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, pada 15 Julai lalu.

Pada PRU14 beliau menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Bersatu yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.

Perak mempunyai 59 kerusi DUN dan daripada jumlah itu 32 membentuk Perikatan Nasional yang terdiri daripada 25 BN (kesemuanya UMNO), Bersatu (empat), Pas (tiga) manakala DAP (16), Amanah (lima), PKR (tiga), Bebas (dua) serta Gerakan (satu). – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.