Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Edmund Santhara (tengah) diiringi Ketua Setiausaha Kementeri Wilayah Persekutuan, Datuk Rosida Jaafar (dua kiri) dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan (dua kanan) dan wakil ketua-ketua jabatan dan agensi mengibarkan bendera pada Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2020 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Masyarakat digesa agar memberikan maklumat yang tepat kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung apa-apa aktiviti perjudian di wilayah itu.

Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, segala maklumat yang diberikan oleh pengadu penting untuk pihak berkuasa termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil tindakan bagi menutup premis perniagaan haram berkenaan.

“Bila kita ada maklumat yang diberikan samada melalui WhatsApp, Facebook dan kita ambil tindakan.

“Saya yakin dengan adanya maklumat yang tepat kalau boleh tutup tempat operasi warga asing berniaga kerana ia tidak dibenarkan dibawah Undang-undang kecil DBKL sudah tentunya jika dapat maklumat tentang judi haram dan sebagainya saya yakin PDRM akan dapat ambil tindakan yang lebih cepat, tepat dan tegas,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang peringat Wilayah Persekutuan 2020 di Dataran Merdeka hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan mengenai video Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd. Asri Hamid berhubung aktiviti perjudian dan perniagaan haram di Sungai Buloh, baru-baru ini.

Ujar Santhara lagi, DBKL boleh menutup sebarang premis yang didapati menjalankan aktiviti haram dan tidak berlesen.

“Dalam masa yang sama DBKL juga ada kuasa untuk menutup premis yang menjalankan perniagaan haram.

“DBKL boleh menutup premis judi berkenaan kalau kita dapati mereka berniaga tanpa lesen. Apa juga perjudian ia telah melanggar undang-undang kecil DBKL dan kita boleh ambil tindakan berdasarkan maklumat untuk menutup premis berkenaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette