Mujahid Yusof

KUALA LUMPUR – Isu Tabung Haji (TH) terus menghangatkan Dewan Rakyat apabila pertikaian mengenai pengurusan badan berkanun itu diperdebatkan dengan lantang hingga ke sesi petang.

Pada sesi pagi, pertikaman lidah bermula semasa Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2019) 2020, bacaan kali kedua.

Tindakan beliau membandingkan TH dengan skim Pak Man Telo mengundang kemarahan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang merupakan bekas Pengerusi TH.

Kedua-dua mereka membentangkan fakta mengenai TH ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sehingga memaksa Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menghentikannya.

Pada sesi petang pula, pertikaman lidah kembali tercetus mengenai isu TH selepas Ahli Parlimen Parit Buntar dari Pafrti Amanah Negara, Datuk Seri Mujahid Yusof membangkitkan RUU yang sama.

Abdul Azeez merasakan dirinya tercuit dengan perbahasan Mujahid apabila beliau menyatakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengemukakan pencerahan dalam surat bertarikh 26 Januari 2016 bahawa kedudukan kewangan TH mula berada dalam keadaan selamat.

Bagaimanapun Mujahid menjelaskan bahawa isu yang dibangkitkan ialah mengenai teguran dalam laporan Jabatan Audit Negara 2017.

Justeru surat BNM pada Januari 2016 mengenai kedudukan kewangan TH ketika itu tidak relevan, katanya.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar bingkas mencelah dengan menyatakan sudah jemu mendengar polemik berkaitan TH sebagaimana yang dibawakan oleh Mujahid.

Beliau kemudian mencadangkan agar isu mengenai agensi itu diperhalusi selepas Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dan membentangkan hasil penelitiannya.

Mujahid bagaimanapun tidak bersetuju dengan perkara itu sambil berkata, isu berkenaan harus diketengahkan kerana ingin mengetahui sama ada komitmen kerajaan terhadap usaha pemulihan TH menerusi Kementerian Kewangan akan diteruskan atau sebaliknya.

Disebabkan isu itu menggamatkan keadaan, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan, perbahasan dengan menjurus kepada ‘elemen mendalam’ berkaitan TH bakal mengundang maklum balas dan provokasi daripada Ahli Parlimen yang disebut namanya.

Keengganan Mujahid mengalih topik perbahasan akhirnya mengundang percakaran berterusan hingga akhirnya masa yang diberikan oleh Azalina habis begitu sahaja dengan kedengaran pekikan dan laungan dari beberapa Ahli Parlimen. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. kalau rakyat faham. cukup2 lah bagi umno memerintah. segenap pelusuk mereka bedal sampai ranap. lepas tu tak mengaku bersalah. sanggup bayar peguam walau berjuta untok menegakan kesalahan jadi kebenaran. macam mana pn nak lari kalau masih berharap bantuan umno untok berkuasa. umno tak akan mengaku kalah sampai masuk lubang kubur

  2. Harap kerajaan siasat mujahid ni.. Byk sangat membela cina2 rasis dari bangsa sendiri.. Dah byk aset dijual xnak mengaku pulak.. Jangan bagi lepas mujahid ini kerana merosakkan aset orang melayu….

  3. Aku ikuti perbahasan itu melalui media. Aku tak kesah sape betul atau salah atau pun kedua2nya salah. Tetapi aku nilai dari mutu perbahasan serta disiplih MP2 berkenaan di dalam Dewan..

    Mereka hilang moral dan maruah diri – terjerit2 macam kena polong dan di rasuk ouaka. Apa jenis MP dan parlimen nie yer…..

    Peraturan ada….tapi selalu dilangar!!!

Comments are closed.