Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercakap kepada media selepas membuat laporan polis berkaitan isu kaji semula dan tarik balik pendakwaan pendedahan pusat judi Ampang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Selangor.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos menggesa pihak berkuasa menggugurkan semua pertuduhan kepada pemberi maklumat mengenai aktiviti perjudian haram termasuk dirinya.

Jamal mendakwa beliau juga pemberi maklumat pada tahun 2016 terhadap sebuah premis perjudian di Taman Kosas, Ampang dan sehingga kini kes berkaitan masih berjalan terhadapnya.

“Dalam laporan (polis) kami minta pendakwaan ini digugurkan terus bukan setakat dikaji dan minta polis kaji balik tentang laporan kami siapa di belakang kedai judi.

“Jadi hari ini saya buat laporan polis dan mengadakan sidang media untuk menuntut keadilan bagi pihak saya bersama dengan sembilan rakan-rakan serta anak buah saya yang lain.

“Jadi saya berharap pihak kerajaan dan Peguam Negara tarik balik pertuduhan yang saya dedahkan,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya hari ini.

Sebelum ini, Jamal dituduh menceroboh sebuah premis perjudian di Taman Kosas dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ampang, empat tahun lalu.

Jamal, 51, pernah mengetuai Gabungan NGO 1Malaysia pada 5 Julai 2016, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menceroboh kedai Starcom Trading dan Services, nombor 23 & 25, Jalan Kosas 13, Taman Kosas di sini.

Jamal bersama Aenol Rofik Mawardi, 21, dan seorang lagi yang masih bebas dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 3.30 petang pada 29 Disember 2016.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Jamal juga mempersoalkan pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau sebagai seorang pemberi maklumat, sedangkan kes beliau sama seperti pendedahan yang dibuat oleh pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid mengenai aktiviti perjudian di Sungai Buloh, baru-baru ini.

“Saya nak maklumkan apa yang berlaku kepada Asri Janggut dan apa yang berlaku kepada saya pada 2016 tidak jauh bezanya. Saya adalah orang yang memberikan maklumat kepada pihak polis tetapi akhirnya saya didakwa.

“Saya kena tujuh hari enam malam duduk dalam lokap, peguam saya, Datuk Mohd Imran Tamrin duduk di balai Ampang, saya di lokap sentral di Shah Alam.

“Maknanya apa yang dimaksudkan oleh Ketua Polis Negara sekarang ini dan Kementerian Dalam Negeri katanya beliau akan membantu dan melindungi orang yang memberikan maklumat.

“Saya dan Datuk Imran ini orang yang memberikan maklumat, tetapi saya pula dizalimi,” tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan tuduhan menceroboh premis perjudian sedangkan kegiatan itu diakui sendiri oleh pemilik premis ketika memberi keterangan di mahkmah, empat tahun lalu.

“Cukuplah saya kena lokap, dibicarakan bayar jaminan melibatkan puluhan ribu ringgit dan masa nak ke mahkamah.

“Walaupun saksi utama tokeh kedai yang buat laporan polis pun sudah tarik balik laporan kata tak nak meneruskan kes tersebut.

“Tokeh itu mengaku yang kedai tersebut ada aktiviti yang saya sebutkan dan saksi daripada pihak polis juga dalam perbicaraan tersebut yang mengatakan kedai tersebut adalah kedai judi.

“Malah tokey kedai itu mengaku premis beroperasi, ada lesen, tapi menggunakan lesen pusat hiburan keluarga tapi menjalankan aktiviti perjudian,” dakwanya.

Jamal turut meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyiasat siapa dalang sebenar premis perjudian haram yang tumbuh melata hampir 2,000 premis pada 2016.

“Siasat balik aktiviti perjudian ketika itu didalangi oleh siapa? Ketika itu saya tak kata tak baik (Ketua Polis Daerah Ampang Jaya).

“Tapi saya minta kaji balik kerana setelah saya mengadakan serbuan tersebut, tak sampai dua jam Ketua Polis Negeri Selangor ketika itu terus mengeluarkan kenyataan bersifat menyalahkan kami.

“Bukan setakat saya saja selepas dari itu berlaku lagi di Kuala Selangor saudara Along membuat pendedahan tentang kedai judi di sana.

“Apa yang berlaku saudara Along dan rakan-rakan anak buahnya didakwa dituduh dan kenakan kompaun,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Bagus Jamal ni, bersusah payah membenteras kemungkaran! Perjuangannya menenang judi haram, pelacuran, ahlong dan segala kerosakkan dan sentiasa menegakkan Islam.

    Tapi kenapa KHADAM2 DAP sangat benci kepadanya?

Comments are closed.