Foto Facebook FA Kedah.

KUALA LUMPUR – Persiapan Kedah bagi menghadapi saingan CIMB Liga Super kembali berada pada landasan tepat selepas berjaya meraih kemenangan sulung, 3-1 ke atas pasukan dari Liga Premier, UKM FC di Stadium UKM, semalam.

Biarpun dikejutkan dengan jaringan Faiz Hanif Adnan, Kedah berjaya bangkit melalui tiga gol menerusi Renan Alves, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman sekali gus memastikan mereka bangkit daripada kekalahan 1-2 kepada Perak II pada aksi pertama perlawanan persahabatan, 8 Ogos lalu.

Walaupun keputusan perlawanan bukan menjadi keutamaan ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, namun beliau teruja melihat komitmen ditunjukkan semua pemain yang sudah mula mendapat kecergasan untuk bermain.

“Ini merupakan perlawanan kedua dalam tempoh lima bulan dan saya rasa UKM sebuah pasukan yang bagus pada hari ini kerana mempunyai ramai pemain muda berbakat.

“Objektif kami bukannya kemenangan semata-mata namun untuk pastikan pemain kembali dapatkan kecergasan selain berikan peluang untuk semua pemain turun bermain.

“Hari ini saya pertaruhkan kombinasi Fadzrul Danel dan Baddrol (Bakhtiar) di bahagian tengah dan mereka menunjukkan persefahaman yang baik malah ini satu percubaan saya untuk melihat mereka benar-benar bersedia untuk hadapi perlawanan sebaik bersambung nanti.

“Peluang untuk semua pasukan terbuka dalam hadapi baki tujuh ke lapan perlawanan yang akan datang dan Kedah mahu fokus satu persatu, cuma paling penting kami mesti dapatkan tiga mata pada perlawanan pertama menentang PDRM dan daripada situ kita akan lihat sejauh mana peluang kami, ” katanya kepada Malaysian Football League di sini hari ini.

Sementara itu, UKM FC melalui ketua jurulatihnya, Sulaiman Hussin, berdepan dengan situasi yang sedikit resah apabila beberapa pemain utamanya di bahagian pertahanan berdepan kecederaan.

Namun beliau faham itu risiko yang perlu diambil selepas pasukannya bermula lewat mengadakan latihan apabila hanya bermula 18 Julai dan berharap semua pemainnya sempat pulih sebelum hadapi Kelantan pada 22 Ogos.

Pada aksi semalam, tiga tonggak di bahagian pertahanan iaitu K. Reuben, Ignatius Adukor dan Saiful Hasnol tidak diturunkan sebaliknya Sulaiman menggunakan pertahanan kiri, Syafiq Azri beraksi di posisi tengah untuk digandingkan bersama bekas pemain Negeri Sembilan, L. Kalaiharasan.

“Ramai pemain utama saya tidak boleh bermain kerana kecederaan dan ini adalah risiko yang kita perlu terima apabila memulakan latihan lambat tetapi saya perlu akur dengan keputusan majikan.

“Jadi ini adalah tanggungjawab saya bagi memastikan pasukan ini bersedia dan hari ini, saya tidak menurunkan beberapa pemain utama kerana mahu mereka mahu betul-betul pulih daripada kecederaan.

“Harapan saya boleh menguji mereka sebelum aksi persahabatan terakhir menentang Perak pada 14 Ogos ini dengan semua pemain bebas daripada kecederaan.

“Hari ini pun kalau tengok banyak peluang kita cipta cuma pengalaman memisahkan UKM dengan Kedah apabila beberapa kesilapan kita lakukan buka ruang kepada lawan menjaringkan gol, “ katanya. – MalaysiaGazette