Ahli perniagaan, Phang Li Koon (tengah) hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di Mahkamah Butterworth, Pulang Pinang. foto HAZROL ZAINAL, 11 OGOS 2020.

BUTTERWORTH- Ahli perniagaan, Phang Li Koon dan isteri Lim Guan Eng, Betty Chew mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah serta penggubahan wang haram hari ini.

Li Koon didakwa telah bersubahat memastikan Betty mendapat suapan sebanyak berjumlah RM372,009 untuk Betty melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd.

Ini kerana syarikatnya Magnificent Emblem Sdn. Bhd. mendapat projek bernilai RM11.61 juta melalui Guan Eng yang juga ketika itu merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Penang.

Kesalahan itu dilakukan antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Li Koon didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] dibaca bersama seksyen 23(1) dan seksyen 24(1) Akta yang sama.

Sabit kesalahan beliau berdepan dengan hukuman penjara tidak kurang 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan.

Manakala Betty juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan melibatkan diri dengan penggubahan wang haram apabila menerima berjumlah RM87,009 di Public Bank Taman Melaka Raya antara 7 Oktober 2013 dan 4 Oktober 2014.

Wang Itu telah dimasukkan ke dalam akaun banknya melalui Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri itu juga didakwa telah menerima suapan sebanyak RM180,000 pada 3 September 2013 dan 11 Ogos 2014 hasil aktiviti wang haram dari syarikat yang sama.

Pertuduhan ketiga terhadap Betty ialah menerima wang sebanyak RM105,000 pada 4 September 2015 dan 3 Mac 2016 juga hasil wang haram ke akaun peribadinya dari Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Betty berdepan tuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (a) dan (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Hasil Kegiatan Haram 2001.

Jika sabit boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda kali ganda jumlah suapan tersebut.

Prosiding masih berjalan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Ahli politik memang cekap. Cara nak dapat duit ialah melalui yayasan sendiri atau kompeni. Wayang semuanya..

Comments are closed.