Azam Baki

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa siasatan terhadap kesnya berat sebelah.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan kes skandal projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya bernilai RM6.3 bilion itu dijalankan sama seperti kes-kes berprofil tinggi yang lain.

“Saya sudah banyak kali cakap, kami tidak ada sifat berat sebelah kepada mana-mana. Kami menjalankan tugas seperti mana biasa. Secara telus dan profesional,” katanya menjawab pertanyaan media di ibu pejabat SPRM, hari ini.

Sabtu lalu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP tampil memuat naik status tidak berpuashati kerana telah diperlakukan dengan ‘tidak adil’ oleh SPRM.

Beliau berkata, dirinya cukup pilu dan pedih kerana isterinya juga telah ditahan oleh SPRM walaupun Betty Chew didakwanya tidak berkaitan dengan skandal terowong dasar laut Pulau Pinang mahupun perkara berkaitan kerajaan.

Guan Eng turut mendakwa beliau terpaksa menukar pakaian ke baju oren lokap SPRM, mengharungi tidur malam beralaskan lantai papan bilik lokap yang sempit tanpa bantal mahupun tilam.

Ahli Parlimen Bagan itu turut berkata dirinya tidak bernasib baik seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak perlu bermalam walau satu malam pun di dalam lokap.

Mengulas mengenai dakwaan itu, Azam berkata, segala keputusan untuk memakai atau tidak baju reman adalah di bawah budi bicara pegawai penjara dan pegawai penyiasat kes.

“Ini perkara lama. Mana-mana pegawai penyiasat yang gunakan baju lokap itu adalah budi bicara pegawai penjara lokap dan pegawai penyiasat.

“Saya sudah katakan banyak kali itu terpulang kepada budi bicara kepada pegawai penyiasat berkenaan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Azam berkata, tiada lagi yang akan didakwa dalam kes terowong yang melibatkan Guan Eng.

“Setahu saya, itu saja yang didakwa. Mereka yang terlibat dalam kes itu telah dituduh di mahkamah,” tegas Azam lagi.

Semalam, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM3.3 juta melibatkan projek jalan-jalan utama dan terowong di Pulau Pinang.

Jumaat lalu, Lim turut didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta suapan bagi membantu syarikat sama dilantik untuk melaksanakan projek serupa dan beliau dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua orang penjamin.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang mencetuskan kontroversi itu bakal menghubungkan pulau itu dari Persiaran Gurney dengan tanah besar di Bagan Ajam dengan anggaran kos RM6.3 bilion dan ia dijangka bermula pada 2023.

Terbaharu hari ini, Guan Eng sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Butterworth hari ini atas pertuduhan rasuah.

Guan Eng, 60, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Beliau didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), telah menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Turut didakwa Ahli perniagaan, Phang Li Koon dan isteri Lim Guan Eng, Betty Chew.

Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah serta penggubahan wang haram hari ini.

Li Koon didakwa telah bersubahat memastikan Betty mendapat suapan sebanyak berjumlah RM372,009 untuk Betty melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Dikatakan penyokong2 pakatan hancing sangat berdukacita bilamana anak godfather mereka kini berhadapan dengan pelbagaikan kesalahan rasuah dimahkamah?

  2. kita tunggu sampai habis sama ada ini fitnah atau betul2 berlaku. kalau fitnah mereka akan lipat balik dengan pampasan berganda. kalau betul kita boleh yakin undang2. negara membela rakyat dan tegakan keadilan.

Comments are closed.