Suami kepada seorang pensyarah yang dibunuh menggunakan tudung hingga mati dalam kejadian pada 29 Julai lalu dibawa ke mahkamah untuk perintah sambung reman di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 06 OGOS 2020

SEPANG – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Sepang di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya yang merupakan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada akhir Julai lepas.

Tertuduh Mohd Hairil Izzuan A Samad, 41, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman, namun tiada pengakuan direkodkan.

Dia dituduh membunuh Maizatulnisa Othman, 40, di Tasik Cyber Valley Park, Jalan Persiaran Sepang, Cyberjaya, antara 11 pagi, 29 Julai dan 1.04 pagi, 30 Julai lepas.

Mohd Hairil Izzuan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Selepas fakta pertuduhan dibacakan, tertuduh yang memakai baju serba hitam meminta tempoh diberikan untuk melantik peguam.

Mahkamah  menetapkan 14 Sept depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya memaklumkan mahkamah bahawa keluarga tertuduh sudah dimaklumkan mengenai pertuduhan hari ini tetapi tiada ahli keluarganya yang hadir di mahkamah.

Sebelum ini dilaporkan Maizatulniza, pensyarah UIAM ditemukan mati di dalam kereta berhampiran Tasik Cyber Valley Park, pada 30 Julai lepas.

— BERNAMA