Anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan reman kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan kegiatan perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh di Mahkamah Majistret Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 12 OGOS 2020

PUTRAJAYA – Empat penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan seorang peniaga berbangsa Acheh direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Ia bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes mengutip dan menerima rasuah secara bulanan bagi melindungi premis-premis perniagaan tanpa lesen di sekitar Sungai Buloh di Selangor.

Perintah tahanan reman terhadap lima individu terbabit dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di sini sehingga 18 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Terdahulu lima individu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini pukul 8.40 pagi tadi berpakaian lokap SPRM berwarna oren dengan tangan bergari.

Mereka yang terbabit berusia antara 41 hingga 45 tahun itu keluar dari mahkamah pukul 9.20 pagi dan dibawa terus ke SPRM di sini.

Anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan reman kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan kegiatan perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh di Mahkamah Majistret Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 12 OGOS 2020

Semalam, SPRM menahan mereka di ibu pejabat SPRM Putrajaya selepas dipanggil memberi keterangan.

Tiga daripada penguat kuasa itu dari Cawangan MBSA Sungai Buloh manakala seorang daripada MBSA Shah Alam.

Penguatkuasa yang ditahan dipercayai menerima rasuah antara RM300 ke RM3,500 sebulan bagi sebuah premis perniagaan.

Turut ditahan, peniaga rokok seludup dari Aceh yang turut tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan.

Peniaga berkenaan telah beroperasi sejak tahun 2019 dan dikatakan menbayar wang rasuah sebanyak RM300 sebulan kepada penguat kuasa MBSA bagi mengelakkan sebarang tindakan.

Baru-baru, tular dua klip video yang disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi, serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan tersebut. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tahniah Abe Janggut dan SPRM.

    Diharap mereka yang memberi rasuah ( cina towkey judi) tu perlu dicekup juga.

    Jika tiada pemberi, tiadalah penerimanya.

Comments are closed.