Ahli Parlimen Gerik, Hasbullah Osman.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Grik, Datuk Hasbullah Osman (BN) meminta Jabatan Perhutanan melakukan pemantauan terperinci bagi memastikan tiada pembalakan di kawasan tadahan air.

Beliau juga mempersoalkan berhubung anugerah balak yang diberikan kepada syarikat tertentu disamping mendakwa ada pembalak diberi kuasa untuk menanda pokok yang mahu ditebang walaupun perkara itu hanya boleh dilakukan oleh renjer Jabatan Perhutanan sahaja.

“Sekarang kerajaan negeri tidak sepatutnya membuka kawasan hutan simpan dengan tebang habis konon untuk buat tanaman pertanian namun akhirnya menjadi padang jarak padang terkukur. Yang untung pembalak, yang teraniaya hutan simpan dan yang jadi mangsa adalah generasi yang akan datang.

“Orang Asli juga dituduh menjadi penebang haram. Ketawa bila alasan diberikan oleh pembalak bahawa pokok tersebut ditebang Orang Asli. Mereka sudah duduk hutan, buat apa nak tebang pokok?

“Ini alasan nak kaut untung dalam hutan. Kerajaan mesti uruskan dengan baik supaya keadaan muka bumi kita akan berada dalam keadaan balik,” ujarnya dalam perbahasannya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Arau (BN), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, masalah itu telah menimbulkan keresahan dalam rakyat.

Menurutnya, kegiatan pembalakan haram di negara ini perlu diharamkan bagi mengelakkan syarikat-syarikat yang terlibat dalam aktiviti penebangan berterusan melakukan pencemaran alam.

Beliau juga mencadangkan agar pejabat mini Jabatan Perhutanan dibuka di kawasan-kawasan pembalakan haram.

“Jabatan Perhutanan perlu ambil pendekatan ini sebab seluruh dunia ambil pandangan. Jika tak cukup renjer, RELA ada, APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini. – MalaysiaGazette