Tan Sri Ambrin Buang

KUALA LUMPUR – Tan Sri Ambrin Buang memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini beliau tidak pernah sesekali ditekan mahupun telah diminta untuk memilih antara dua penyata kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dua penyata kewangan yang disebut oleh Ambrin yang juga merupakan bekas Ketua Audit Negara ketika Najib menjadi Perdana Menteri itu didapati bercanggah santara satu sama lain.

Malah Ambrin mengakui, Najib memberitahunya pihak berkuasa yang berkaitan akan membuat siasatan menyeluruh secepat mungkin.

Najib memberikan janji itu dalam satu pertemuan di Pejabat Perdana Menteri yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Setiausaha Politik Najib Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Ambrin yang merupakan saksi keenam pendakwaan kes pindaan laporan audit 1MDB hari ini berkata demikian ketika di soal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebentar tadi.

Shafee: Saya bertanya kepada kamu, adakah Perdana Menteri memberitahu kamu terdapat dua penyata kewangan untuk tahun sama iaitu 2014.

Adakah beliau beritahu kamu bahawa dirinya lebih suka kepada penyata A berbanding dengan B?

Ambrin: Tidak. Tidak. Beliau tidak berkata seperti itu.

Shafee turut bertanya seandainya ada pihak lain mewakili Najib seperti pegawai tertinggi kerajaan mendesak atau menekannya bagi beliau melakukan sebarang pindaan laporan audit tersebut.

Bagaimanapun Ambrin menafikan sebarang insiden seperti itu.

“Tidak pernah ada apa-apa tekanan atau paksaan,” ujarnya.

Tambah Ambrin, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak melakukan apa-apa ugutan mahupun tekanan ketika kenyataanya diambil berhubung pindaan laporan audit itu.

Dalam pertemuan itu, Najib meminta Ambrin menjelaskan isu ketara dan serius dalam Laporan Pengauditan Akhir 1MDB.

Menurut Ambrin, beliau kemudian membangkitkan isu dua penyata kewangan 1MDB yang berbeza bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014.

Difahamkan perbezaan itu membabitkan satu versi yang dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menyatakan bahawa 1MDB sudah menggunakan dana yang diperoleh daripada pelaburan untuk membayar hutang syarikat dan digunakan untuk modal kerja.

Satu lagi versi ialah penyata kewangan yang dihantar kepada Kementerian Kewangan, Deustche Bank dan Ambank yang menyatakan bahawa dana diperoleh daripada pelaburan masih lagi dalam simpanan 1MDB.

Sebelum ini, Ambrin pernah mendedahkan pada 23 Februari 2016, beliau diarahkan Ali untuk hadir mesyuarat bersama pasukan khas audit 1MDB di pejabat KSN bagi membincangkan mengenai laporan akhir audit dan isu berkaitan.

Mesyuarat yang diadakan pada 24 Februari itu dihadiri Ali; wakil Pejabat Peguam Negara, Datuk Dzulkifli Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Sri Dr Isa Hussain; wakil Kementerian Kewangan, Asri Hamidon.

Selain itu, yang turut serta ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, 1MDB, Arul Kanda Kandasamy; Setiausaha Sulit Kanan KSN, Datuk Norazman Ayob; dan Shukry.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes pindaan Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 12 OGOS 2020

Dalam pada itu, Ambrin juga menafikan soalan Shafee yang bertanya jika ada sesiapa dari pendakwaan yang memberitahunya ada kemungkinan beliau akan juga dituduh bersubahat dalam kes ini dan mempunyai hak meminta imuniti daripada hakim.

Prosiding akan bersambung esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan pada Khamis pagi.

Najib ketika ini sedang berdepan dakwaan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah dimuktamadkan oleh Ketua Audit Negara sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan ke atas laporan itu untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. –MalaysiaGazette