Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Acyrl Sani Abdullah Sani dilantik pemangku Timbalan Ketua Polis Negara bagi menggantikan Datuk Mazlan Mansor yang akan bersara wajib esok.

Acryl sebelum ini menyandang jawatan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri da Ketenteraman Awam (JKDNKA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, beliau dilantik sebagai pemangku terlebih dahulu sementara menunggu kelulusan dari Istana Negara.

“Sebenarnya ada sedikit isu teknikal disebabkan istana belum melepaskan (memperkenan) pelantikannya sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, jadi kita lantiknya (Pemangku Timbalan KPN).

“Kita menunggu perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan saya tidak boleh mendahului baginda,” katanya pada sidang media selepas majlis Serah Terima Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara di Maktab PDRM di Cheras, di siniĀ  hari ini.

Menurutnya, kerajaan telah membuat perakuan dan membawa nama Acryl Sani untuk perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Lagipun perlu faham bahawa ada dua jawatan dalam PDRM memerlukan persetujuan istana iaitu jawatan Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara,” ujar beliau.

Abdul Hamid berkata, Acryl diyakini mampu menggalas dan melaksanakan tugas dengan cemerlang menerusi pengalaman luas dan kebijaksanaan yang dimiliki sepanjang berkhidmat dengan PDRM.

“Acryl Sani tidak kurang hebat dari segi pengalamannya berkhidmat dan kejayaan dalam setiap tugasannya di setiap jabatan yang diterajuinya di peringkat negeri dan Bukit Aman khususnya di JKDNKA.

“Saya dah lihat banyak kejayaannya dalam soal penyeludupan dan sebagainya yang membantu kerajaan mendapat balik wang wang berbilion daripada mengalami kerugian” tambah beliau.-MalaysiaGazette