Wartawan, Wan Noor Hayati Wan Alias yang dikenali sebagai 'Ibu Yati' hadir ke mahkamah majistret untuk perbicaraan kes berita palsu dalam laman profil Facebook miliknya ketika di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 13 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret  Kuala Lumpur hari ini melepaskan tanpa dibebaskan wartawan wanita berhubung pertuduhan berkaitan isu Covid-19 di laman sosial Facebook (FB) miliknya yang dilakukan pada Februari lalu.

Keputusan itu adalah atas alasan kes tersebut telah dipindahkan ke Mahkamah Siber, Jalan Duta.

Terdahulu, Wan Noor Hayati yang dikenali IbuYati didakwa tiga pertuduhan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan jenayah ialah menimbulkan ketakutan dan kegentaran awam.

Pada prosiding itu, Ibuyati yang diwakili peguam Fudhail Zulaini daripada firma guaman Jahaberdeen and Co. memaklumkan keputusan memindahkan kes itu ke Mahkamah Siber kerana berdasarkan fakta kes ia lebih sesuai didengar di mahkamah tersebut.

“Kes sudah didaftarkan di Mahkamah Siber Kuala Lumpur tengah hari tadi dan dibacakan ketiga-tiga pertuduhan berkenaan kepada anak guam saya.

“Hakim Edwin Paramjothy Michael Muniandy memutuskan wang jaminan RM 2,000 bagi setiap satu pertuduhan.

“Timbalan Pendakwaraya Julaila Jamaludin meminta wang jaminan RM3,000 setiap pertuduhan tetapi saya memohon jaminan yang lebih rendah dan setelah hakim menilai permohonan saya, hakim benarkan.

“Anak guam saya turut menyerahkan lebih 100 muka surat fakta-fakta yang berkaitan dan boleh membantu kes,” katanya.

Setelah hampir lapan bulan sejak kali pertama kes disebut pada 5 Februari 2020 hingga kini 13 Ogos 2020, mahkamah masih belum membicarakannya walaupun dokumen pendakwaan hanya tiga muka surat sahaja.

Wan Norhayati berhadapan tiga pertuduhan membuat kenyataan mengenai Covid-19 di akaun Facebook miliknya, Januari lalu.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, wanita itu didakwa secara sedar membuat kenyataan mengenai koronavirus dengan niat untuk menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada golongan awam.

Ketiga-tiga kenyataan tersebut dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman pada pukul 10 malam, 26 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, kes kontroversi itu juga mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), National Press Club (NPC).

Sebutan kes itu dihadiri peguam pemerhati, Vince Tan dari TrialWatch iaitu projek hak asasi manusia dari Clooney Foundation yang berpangkalan di Amerika Syarikat bagi menilai aspek keadilan perbicaraan kes yang membabitkan wartawan dan membuat laporan mengenainya.  – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Silap??? Tak tau?? Tak ariff?? dan pelik.. Setelah 8 bulan!!!!! Apa hal tu. Kan senang gugur kes jer!!! X relevant! Covid-19 pun dah membunuh ramai manusia d seluruh dunia!!

Comments are closed.