Datuk Seri Dr. Dzulkifli Mohamad Al-Bakri
Dr. Dzulkifli Mohamad Al-Bakri.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang mewujudkan semula Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dr. Zulkifli berkata, penubuhan semula itu bagi memartabatkan lagi sistem perundangan Syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan sedang meneliti kewajaran untuk menubuhkan semula Jawatankuasa ini.

“Selain itu, penyeragaman pentadbiran juga dilakukan melalui pembinaan Arahan Amalan Mahkamah Syariah, Kaedah-Kaedah Mahkamah Syariah dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan digunapakai di seluruh Mahkamah-Mahkamah Syariah,” jelas Dr Zulkifli.

Beliau berkata demikian menjawab sesi pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

JKMMS pernah ditubuhkan pada Ogos 2017 lalu dan ia dipengerusikan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Bagaimanapun, operasi jawatankuasa ini terhenti akibat pertukaran kerajaan selepas Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).

Tambah Dr Zulkifli, perlaksanaan itu akan dibincangkan terlebih dahulu pada Persidangan Ketua-Ketua Hakim Syarie Seluruh Malaysia dan Mesyuarat Ketua-Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah sebelum keputusan diambil.

“Inisiatif-inisiatif berbentuk inovasi juga telah diperkenalkan bagi mempercepatkan penyelesaian kes dan kelancaran pengurusan pentadbiran mahkamah antaranya seperti e-Bicara, e-Faraid, Program Perceraian Secara Fast Track di Selangor, Program Sifar Kes Tertunggak (SIKET) di Wilayah Persekutuan, E-Syariah Instant Access Procedure (e-Siap) di Pulau Pinang dan pengenalan sistem i-Tray dan i-Post di Terengganu bagi mempercepatkan penyerahan dokumen dan perintah mahkamah,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Dr Zulkifli berkata, tempoh penyelesaian sesuatu kes Mahkamah Syariah bergantung kepada pelbagai faktor, sama ada dari pihak Mahkamah Syariah, pihak Peguam Syarie mahupun pihak-pihak dalam kes itu sendiri.

“Usaha-usaha proaktif telah dilakukan oleh Mahkamah-Mahkamah Syariah melalui penguatkuasaan Arahan Amalan, Kaedah-Kaedah Mahkamah Syariah dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan setiap kes diselesaikan dalam tempoh masa yang munasabah,” katanya. – MalaysiaGazette