PUTRAJAYA – Seorang penolong pegawai penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh, Selangor.

Perintah reman yang bermula hari ini sehingga 19 Ogos itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini hari ini.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lelaki berumur 38 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM di sini kira-kira 9.30 malam, semalam selepas hadir memberi keterangan.

Semalam, lima individu termasuk empat penguat kuasa MBSA direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes yang sama.

Isu tersebut menjadi hangat apabila baru-baru ini tular dua klip video menerusi laman sosial Facebook Hot Burger Malaysia serta dikongsi akaun Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali sebagai Asri Janggut, yang mendakwa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kes judi serta mendedahkan lokasi perjudian di Bandar Baru Sungai Buloh.

Susulan pendedahan itu, SPRM melakukan siasatan terhadap dakwaan berkenaan dan mendapat kerjasama Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, bagi menyiasat dakwaan itu. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast