Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) Cawangan Utusan Melayu (M) Bhd, Mohd Taufek Razak (dua dari kanan) hadir ke mahkamah bagi kes pendengaran tuntutan kakitangan Utusan ke atas pengurusan syarikat Utusan Melayu (M) Bhd di Mahkamah Tinggi Dagang, Kompleks Mahkamah, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 13 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 10 September depan bagi perbicaraan kes saman bekas kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan Melayu) terhadap syarikat itu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Nadzarin Wok Nordin berkata, beliau tidak akan melayan sebarang bentuk bantahan teknikal memandangkan pihak yang terjejas melibatkan pekerja seramai 200 orang.

Pihak pembelaan memberitahu mahkamah terdapat isu teknikal dibangkitkan dan perlunya membuat persiapan lebih rapi sebelum perbicaraan.

“Saya tidak dapat melayan sebarang bantahan teknikal memandangkan kesan kepada keputusan yang bakal dibuat ini melibatkan pekerja seramai 200 orang,” katanya.

Pada Oktober tahun lalu, bekas wartawan, jurugambar dan artis grafik Utusan Melayu juga ahli Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) cawangan Utusan Melayu menfailkan permohonan menuntut Perjanjian Kolektif (CA) diiktiraf dalam memastikan faedah pemberhentian dan pampasan diperoleh.

Tuntutan tersebut dibuat susulan kakitangan syarikat berkenaan diberhentikan secara tiba-tiba pada Oktober 2019.

Tuntutan tersebut juga dibuat selepas syarikat melalui pelikuidasi, UHY (M) Sendirian Berhad enggan mengikut klausa dalam CA NUJ Cawangan Utusan Malaysia (NUJ-UM).

Sebaliknya syarikat pelikuidasi itu hanya akan membuat pembayaran hutang dan pampasan pekerja mengikut Akta Syarikat 2016.

Peguam mewakili kakitangan Utusan Melayu, Ahmad Fakhri Abu Samah ketika ditemui memberitahu, hak 200 kakitangan syarikat itu telah dinafikan lebih-lebih lagi mereka yang telah berkhidmat berpuluh tahun lamanya.

“Isu yang timbul adalah berkaitan dengan isu manfaat penamatan perkhidmatan (termination benefit) yang sebelum ini tidak dimasukkan di dalam Statement of Affairs bahagian kewangan pelikuidasi.

“Jadi atas dasar itu sebelum ini, pihak NUJ secara sendiri ataupun melalui peguam telah cuba mendapatkan pengesahan sama ada hak penamatan akan dikira ataupun tidak.

“Maka ini adalah penting sebab terdapat ahli-ahli NUJ telah berkhidmat berpuluh tahun bersama dengan Utusan.

“Apabila Utusan mengambil pendirian untuk digulungkan secara sukarela (volunteeraly winding up), manfaat mereka yang telah berkhidmat berpuluh-puluh tahun bersama Utusan tidak diendahkan.

“Jadi atas dasar itu, permohonan hari ini dimulakan supaya undang-undang dapat melihat bahawa pekerja-pekerja ini telah ditindas dan terdapat beberapa manfaat yang mereka telah abaikan untuk diberikan kepada pekerja,” katanya.

Ujar beliau, kes ini amat penting bagi menentu sahkan yang mana jumlahnya bernilai jutaan ringgit, khususnya untuk isu-isu penamatan perkhidmatan sahaja dan kesannya kepada pekerja.

“Setakat yang kita telah buat sebelum ini, kita perlu menfailkan ke mahkamah, pihak defendan melalui pelikuidasi mengambil pendirian yang sangat lemah.

“Mereka tidak berani mengeluarkan pengesahan dalaman yang mana dokumen atau surat bahawa mereka akan mengiktiraf ataupun tidak manfaat penamatan pekerja.

“Sebab itu, sebelum kes ini dimulakan, rundingan lebih awal dibuat kemudian kita telah menulis dua kali surat kepada pihak pelikuidasi untuk mereka memberikan pengesahan.

“Jika pengesahan diberikan lebih awal, ia tidak akan menyusahkan para pekerja sehingga terpaksa membawa kes ini ke mahkamah,” katanya.

Kira-kira 20 kakitangan Utusan hadir pada prosiding pada hari ini dan mereka berharap sesuatu yang baik menanti mereka. -MalaysiaGazette