Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menggempur dua buah hotel yang menawarkan khidmat pelacur warga asing di Subang Jaya semalam.

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menggempur dua buah hotel yang menawarkan khidmat pelacur warga asing di Subang Jaya semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Kharul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan diadakan pukul 7 malam itu pihaknya berjaya menahan seramai 21 orang warga asing dan dua lelaki tempatan.

Operasi telah dijalankan dengan kekuatan seramai 29 orang pegawai imigresen dari Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa serta dari Unit PASTAK JIM Putrajaya.

“Modus operandi yang digunakan di kedua-dua lokasi oleh adalah pelanggan perlu menghantar pesanan ringkas melalui aplikasi Whatsapp kepada pengendali rangkaian bernama V CHAI dan mereka akan memaklumkan pelanggan perlu membuat temujanji dengan memilih gadis (pelacur) yang diiklankan melalui laman sesawang V CHAI.

“Setelah memilih wanita warga asing tersebut, V CHAI akan memaklumkan harga, nombor bilik, tingkat, masa, lokasi dan nombor kod ejen bagi tujuan seterusnya kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Khairul Dzaimee, hasil pemeriksaan di dua buah hotel tersebut, pegawai operasi telah berjaya menahan seramai 20 orang wanita yang terdiri daripada 10 orang warga Vietnam, enam warga Indonesia, tiga wanita warga Thailand dan seorang wanita warga Laos yang disyaki melakukan akitiviti pelacuran.

Kesemua wanita itu berusia antara 22 hingga 40 tahun.

Menurut beliau, seorang lelaki warga Bangladesh yang bekerja sebagai pekerja pembersihan disalah sebuah hotel tersebut kerana tidak memiliki dokumen perjalananan yang sah.

Selain itu, pegawai operasi juga turut menahan dua orang lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengurus dan kapten di hotel tersebut.

“Wanita-wanita warganegara asing tersebut menawarkan perkhidmatan seks dengan harga diantara RM220 sehingga RM500 untuk sekali perkhidmatan bagi tempoh masa 45 minit dan perlu menambah bayaran bagi melanjutkan masa.

“Sebanyak 11 notis saman saksi telah dikeluarkan kepada pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Pegawai operasi turut merampas sejumlah kondom, duit hasil aktiviti berjumlah RM12,090 , tuala, dokumen perjalanan dan rakaman CCTV hotel.

“Kebanyakkan pas di dalam pasport wanita (pelacur) terbabit disyaki palsu serta diuruskan oleh rangkaian sindiket yang sama,” ujarnya lagi.

Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen. Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.- MalaysiaGazette