Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya melakukan persiapan terakhir Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil N. 58 Slim menjelang hari penamaan calon pada esok hari di Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim, Perak. foto AFFAN FAUZI, 14 OGOS 2020

SLIM RIVER – Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) di sini mula menjadi menjelang pusat hati penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim esok.

Suasana sibuk dapat dilihat apabila kakitangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan apabila menyusun meja dan kerusi selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini.

Raptai penuh turut dijalankan sebagai persediaan agar proses penamaan calon berjalan lancar yang dijadual pukul 9 pagi esok.

Semalam, SPR tidak membenarkan para penyokong parti politik hadir ke pusat penamaan calon.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ikmalrudin Ishak, berkata, aktiviti berkumpul dan perarakan penyokong calon bertanding, seperti yang biasa dilakukan pada hari penamaan calon, juga tidak dibenarkan di mana-mana lokasi pada hari berkenaan.

Sementara itu, PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib pada 15 Julai lalu.

Setakat ini dua calon sudah diumumkan untuk bertanding bagi kerusi DUN tersebut iaitu masing-masing daripada BN dan Bebas.

BN mengemukakan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz manakala calon Bebas yang memakili parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air menamakan seorang peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon mereka.

DUN Slim memiliki 23,094 pengundi berdaftar. – MalaysiaGazette