KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan rangkaian sindiket pasport palsu dalam satu operasi khas yang dijalankan oleh sepasukan Pegawai Imigresen dari Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa JIM Putrajaya pada 10 Ogos di Selangor

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, berdasarkan risikan yang dijalankan selama dua bulan, beberapa siri tangkapan telah dilakukan terhadap rangkaian sindiket pemalsuan dokumen yang aktif di kawasan Lembah Klang.

Menurutnya, pada 9 Julau lalu satu serbuan telah dijalankan  ke atas sebuah premis kediaman di Cheras,Selangor yang dijadikan sebagai tempat untuk membuat dokumen palsu.

Dalam serbuan tersebut, seramai dua lelaki warganegara Bangladesh dan seorang wanita warganegara Monggolia di tangkap kerana terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen, ujarnya.

“Hasil siasatan lanjut telah membongkarkan satu lagi rangkaian sindiket pemalsuan dokumen yang didalangi oleh lelaki warganegara Bangladesh.

“Justeru itu pada 10 Ogos lalu satu serbuan telah dibuat ke atas sebuah premis kediaman di Jalan Klang Lama, Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam serbuan tersebut seorang lelaki Bangladesh telah ditahan dan pasukan serbuan menjumpai sembilan passport Bangladesh  palsu, ,empat pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu, satu komputer riba, satu mesin pencetak dan pelbagai peralatan untuk membuat pasport palsu, katanya.

Tambah beliau, turut disita adalah sebuah kereta Nissan Sentra milik suspek.

Khairul berkata, suspek yang berusia 39 tahun didapati sudah tinggal di Malaysia selama 10 tahun dengan menggunakan PLKS dalam sektor perkhidmatan.

“Beliau mula menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen sejak setahun yang lalu.

“Suspek mengenakan bayaran sebanyak RM300 bagi satu pelekat PLKS palsu manakala bagi satu naskah passport palsu sebanyak RM100,” katanya.

Tambah Khairul, suspek dipercayai mampu mengaut keuntungan sebanyak RM8,000 hingga RM10,000 sebulan hasil daripada jualan dokumen palsu terbabit dan semua hasil keuntungan dihantar ke Bangladesh.

Beliau memberitahu, modus operandi yang digunakan ialah suspek menjalankan kegiatan kereta sewa tidak berlesen atau lebih dikenali sebagai ‘teksi sapu’ dan giat mencari pelanggan di sekitar Kuala Lumpur.

“Suspek akan menawarkan kepada pelanggannya pelekat PLKS palsu serta pasport palsu,” jelas beliau sambil menambah kebanyakkan warga Bangladesh yang membeli pasport palsu adalah bagi memudahkan mereka untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia.

Khairul berkata, ini kerana majikan takut untuk mengambil pekerja asing yang tiada pasport.

Suspek telah ditangkap kerana melakukan kesalahan  di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana memalsukan pas PLKS.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM30, 000 dan penjara tidak kurang lima tahun serta boleh dikenakan tidak lebih enam sebatan. – MalaysiaGazette