Tiga indvidu direman bagi membantu siasatan kes rasuah RM3 juta berkaitan projek pembalakan.

KUALA LUMPUR – Tiga individu, termasuk seorang berpangkat Dato’ direman bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan projek pembalakan bernilai lebih RM27 juta.

Individu berpangkat Dato’ yang merupakan bekas ahli lembaga pengarah syarikat berusia 73 tahun itu direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 16 Ogos 2020.

Dua lagi individu yang merupakan pengarah syarikat berusia 39 dan 57 tahun itu direman selama empat hari mulai hari ini sehingga 17 Ogos 2020.

Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.

Menurut sumber, mereka ditahan ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, lewat petang semalam.

Jelasnya, mereka ditahan atas kesalahan memberi dan menerima rasuah berjumlah RM3 juta.

Tambahnya lagi, ia berhubung pengambilalihan projek pembalakan seluas 6,591.67 ekar di salah satu daerah di negeri Pahang pada 2015.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette