Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim bercakap kepada media pada Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja di Kawasan Bandar Baru Sungai Buloh di Dewab Meranti, Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 15 OGOS 2020

SHAH ALAM – Kesemua kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki melindungi premis perniagaan haram dan pusat perjudian digantung tugas serta merta.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim berkata, tindakan berkenaan merupakan kelaziman yang diambil oleh mana-mana jabatan termasuk MBSA bagi memberi laluan kepada SPRM menjalankan siasatan.

Beliau menegaskan tidak akan melindungi pegawai bawahannya yang telah melakukan kesalahan khususnya terlibat dalam aktiviti rasuah.

“Pihak MBSA akan memberikan kerjasama yang penuh kepada pihak SPRM menjalankan siasatan. Saya tidak akan berselindung atau melindungi pegawai-pegawai yang telah melakukan kesalahan.

“Dalam tugasan biasa mana-mana pegawai yang sedang disiasat kita akan gantung dulu tugas mereka, tugas mereka akan diambil oleh orang lain,” katanya kepada pemberita ketika hadir di Program Penyusunan Semula Peniaga / Penjaja Di Kawasan Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen U20, Shah Alam yang berlangsung hari ini.

Beliau turut memaklumkan MBSA juga akan mejalankan siasatan dalaman untuk memastikan intergriti kakitangannya dalam menjalankan tugas.

Bagaimanapun beliau berkata, MBSA perlu menunggu SPRM selesai menjalankan siasatan terlebih dahulu.

“Insyallah selepas ini kita akan jalankan siasatan tapi kita tidak mahu ganggu siasatan SPRM apa-apa hasil siasatan SPRM kita akan ambil tindakan selepas itu.

“Kalau kita buat siasatan sekarang takut ganggu siasatan SPRM,” jelas beliau.

Terbaru semalam dilaporkan seorang pengarah jabatan di MBSA berusia 50-an ditahan di ibu pejabat SPRM kerana disyaki terbabit melindungi premis perniagaan haram dan pusat perjudian.

Penahanan berkenaan menjadikan jumlah terkini kakitangan MBSA ditahan SPRM adalah sembilan orang, sejak operasi khas dijalankan susulan isu premis perniagaan haram di Sungai Buloh, Selangor menjadi tular. – MalaysiaGazette