Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan memberi tumpuan kepada empat komoditi utama di Kelantan bagi memajukan ekonomi negeri dan negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, empat komoditi itu adalah karas, buluh, koko dan lada.

Sehubungan itu, kata beliau, kementeriannya sedia untuk berbincang dengan lebih terperinci seperti memfokuskan kepada penanaman karas berkaitan penyediaan kaedah inokulasi bagi memastikan pokok itu menghasilkan gaharu yang berkualiti tinggi.

“KPPK bercadang menawarkan geran bahan inokulasi mulai tahun hadapan dan kerajaan negeri boleh menyediakan dana untuk proses tanaman semula menggunakan benih yang dibekalkan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) untuk tujuan terbabit.

“Bagi prospek buluh pula, cadangan Bandar Baru Dabong sebagai lokasi Hab Buluh Negara kita amat alu-alukan dan kementerian sedia memberikan bantuan kerana buluh ini mesti ditanam secara perladangan untuk memastikan bekalan yang konsisten.

“Kelantan boleh ambil peluang ini kerana industri buluh, pasaran antarabangsanya bernilai AS$65 bilion (RM273 bilion),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan dengan delegasi kerajaan negeri yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail di Parlimen, kelmarin.

Selain itu, tambah beliau, pihaknya juga berhasrat melanjutkan perbincangan secara lebih terperinci dengan kerajaan negeri untuk mengembangkan tanaman koko dan lada di negeri berkenaan.

“Bagi tanaman koko saya sendiri amat berminat dengan industri penghasilan coklat yang merupakan sektor hiliran komoditi itu berikutan prospeknya yang amat baik selain memberikan peluang kepada usahawan tempatan kecil dan sederhana memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa.

“Ia memang menjadi fokus saya untuk menjadikan Malaysia ini ‘Raja Coklat Asia’, dan untuk itu kita akan isytihar Langkawi sebagai Hab Coklat Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette