Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seramai 10 individu yang disyaki terlibat dalam insiden memukul dan mencederakan seorang anggota polis berpangkat Konstabel bertugas di Setapak ditahan polis.

Kejadian berlaku pada pukul 10.20 pagi semalam di sebuah stesen minyak di Sri Rampai, dekat sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan Ahmad Osman berkata, polis menerima laporan pada pukul 1 tengahari semalam daripada mangsa yang merupakan seorang anggota polis.

Menurut Ahmad, anggota polis itu mendakwa beliau telah cedera dipukul sekumpulan lelaki dalam kejadian di stesen minyak di Sri Rampai.

“Semasa kejadian mangsa seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, berpangkat Konstabel sedang melakukan tugasan Ops Rentap Khas bagi menangani jenayah samun dan ragut di kawasan sekitar.

“Mangsa berusia lingkungan 20-an yang sedang bertugas menaiki motosikal hampir kehabisan minyak dan telah singgah ke stesyen minyak yang berhampiran dan terus berhenti di salah satu pam di stesen terbabit.

“Tanpa disedari mangsa, terdapat sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berada di belakang sedang menunggu giliran untuk mengisi minyak di pam berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, keadaan itu telah mencetuskan rasa tidak puas hati pemandu MPV terbabit hingga berlaku pertengkaran mulut dengan mangsa.

Ujarnya, sebelum mangsa sempat memberikan penjelasan, saspek telah bertindak menumbuk muka mangsa sebanyak beberapa kali menggunakan tangan.

Malah katanya, suspek dibantu oleh beberapa lagi rakannya terus cuba menyerang tetapi telah dileraikan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.

“Akibat insiden berkenaan telah menyebabkan mangsa cedera di kening kiri sebelum dibawa ke klinik berhampiran dan menerima lima jahitan.

“Susulan kejadian dan laporan mangsa, sepasukan Polis dari IPD Wangsa Maju dengan dibantu oleh Bahagian D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur telah berjaya menahan 10 lelaki berusia lingkungan 22 hingga 44 tahun di sekitar Kuala Lumpur dan Johor Bharu yang disyaki terlibat dengan kejadian ini,” ujarnya.

Tegas beliau, kesemua suspek telah direman dua hari iaitu pada 14 hingga 15 Ogos 2020 untuk siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Menurut Ahmad, kertas siasatan dalam proses akhir untuk dilengkapkan sebelum dimajukan ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk arahan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya dengan cara menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohamad Faiz Mohd Yassin (011-1982 3703) atau Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Gopal Subaramaniam (012-5120242) atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis berhampiran,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apa lagi.. bagi maksimum.. aku tak paham apsal KP tak suruh anggota tu saman je.. cakap terasa hati pun leh saman ni pulak pai cedera bagai.. tak membantu .

Comments are closed.