Anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) ditahan reman kerana disyaki menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan yang menjalankan kegiatan perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh di Mahkamah Majistret Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 12 OGOS 2020

SUBANG – Bagi mengelakkan aktiviti rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawai dan kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi tujuan itu.

Menurut menterinya, Zuraida Kamaruddin, jawatankuasa itu akan bertindak sebagai badan pemantau dalam sistem penggiliran pegawai PBT.

“Ini perkara yang kita cuba untuk selesaikan masalah (rasuah), bagi tingkatkan prestasi dan pengalaman mereka selain mendedahkan mereka untuk mendapatkan pengalaman baharu, ilmu baharu, dan juga pendedahan baharu.

“Kita dalam proses penyediaan, mungkin bukan bentuk nama suruhanjaya tapi itu kaedah mengambil kira membolehkan sistem penggiliran pegawai dan kakitangan PBT,” katanya dalam sidang media di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, hari ini.

Zuraida berkata, garis panduan kepada rancangan suruhanjaya itu akan siap penghujung tahun ini.

Ahli Parlimen Ampang itu berkata, penubuhan suruhanjaya tersebut masih pada peringkat perbincangan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kerajaan negeri.

Ditanya samada suruhanjaya itu akan dapat mengurangkan aktiviti rasuah, Zuraida berkata, sistem penggiliran yang akan dibuat bakal mengakibatkan pegawai ditukar dan mengikut giliran masing-masing.

“Rasuah berlaku bila ada aduan, akan ada siasatan. Tidak boleh dinyatakan begitu sahaja.

“Bila sistem penggiliran dengan salah satu pegawai, ia akan mengurangkan aktiviti rasuah,” katanya lagi.

Zuraida berkata, aktiviti rasuah akan mudah berlaku apabila seseorang pegawai PBT itu bertugas lama di satu-satu agensi berkenaan.

Isu rasuah sebelum ini terpalit kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) apabila sembilan kakitangan PBT itu ditahan SPRM sejak operasi khas dijalankan susulan isu premis perniagaan haram di Sungai Buloh, Selangor menjadi tular.

Terbaharu, seorang pengarah jabatan di MBSA ditahan disyaki terbabit melindungi premis perniagaan haram dan pusat perjudian. – MalaysiaGazette