Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Satu kluster baharu, Kluster Sala telah dikesan di Yan, Kedah yang mana kes pertama kes di bawah kluster ini adalah seorang lelaki warganegara Malaysia.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, kes ke-9148 itu dikesan positif pada 13 Ogos 2020 melalui survelan klinikal Severe Acute Respiratory Infection (SARI) di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

“Sehingga 15 Ogos 2020, 80 kontak rapat beliau telah disaring yang mana empat disahkan positif Covid-19 manakala 76 masih menunggu keputusan.

“Tiga kes positif yang direkodkan hari ini merupakan ahli keluarga beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Noor Hisham, pengesanan kes secara aktif sedang dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, kluster yang paling banyak menyumbang kes positif Covid-19 hari ini, Kluster Tawar mencatatkan 12 kes iaitu 10 kes di Kedah dan dua di Pulau Pinang.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di bawah kluster tersebut adalah 33 kes.

Jelas Dr. Noor Hisham, seramai 657 individu telah disaring di bawah kluster itu yang mana 520 individu di Kedah, 129 di Pulau Pinang dan lapan di Perak.

Bagi saringan di Kedah, 30 kes telah disahkan positif Covid-19; 472 negatif; dan 18 masih menunggu keputusan.

Di bawah Kluster Tawar di Pulau Pinang, terdapat tiga kes positif; 119 negatif; manakala tujuh individu masih menunggu keputusan.

Di Perak, keputusan saringan kelapan-lapan individu di bawah Kluster Tawar masih belum diperolehi.

“Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kluster ini dan situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

Bagi Kluster Muda, terdapat satu kes baharu direkodkan positif pada hari ini.

Seramai 133 individu telah disaring dan daripada jumlah tersebut tiga kes telah disahkan positif manakala 103 individu masih menunggu keputusan.

Baki 27 individu disahkan bebas Covid-19. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.