KOTA KINABALU – Esok Mahkamah Tinggi di sini akan mendengar hujah berhubung cabaran gabungan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman terhadap keputusan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Tun Juhar Mahiruddin yang bersetuju supaya DUN dibubarkan pada 30 Julai lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Leonard Chin menetapkan tarikh esok selepas sesi semakan kehakiman dilakukan pada 7 Ogos lalu lalu berikutan permohonan Musa dan 32 ADUN lagi.

Sama ada mahkamah mahu mendengar lebih banyak hujah atau membuat keputusan esok  akan ditentukan oleh hakim Leornard.

“Selepas sesi itu, ia adalah terserah kepada keputusan mahkamah sama ada perlu penetapan perundangan atau sebaliknya,” kata Peguam, Tengku Fuad Tengku Ahmad yang mewakili Musa dan 32 ADUN ketika memfailkan permohonan tersebut 10 hari lalu.

Dalam permohonan itu kumpulan tersebut meminta mahkamah mengeluarkan  injunksi terhadap pembubaran DUN Sabah serta mempersoalkan permintaan bertulis Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kepada Juhar bagi pembubaran berkenaan yang dibuat pada 29 Julai lalu.

Peguam yang mewakili ADUN terbabit dijangka berhujah bahawa Juhar tidak membubarkan DUN Sabah mengikut peraturan seperti ditetapkan Fasal 21(2) Perlembagaan Sabah serta semangat Fasal 7(1) mengenai kehilangan sokongan majoriti ADUN terhadap Mohd Shafie.

Musa dan 33 ADUN sebelum ini mendakwa telah membentuk majoriti di DUN dan mahu Juhar mengadakan majlis angkat sumpah kerajaan baharu, sekali gus menumbangkan kerajaan negeri pimpinan Mohd Shafie Apdal pada 29 Julai lalu.

Bagaimanapun, Mohd Shafie pula bertindak mendahului  Musa dengan menasihati Juhar supaya membubarkan DUN yang ketika itu mempunyai 65 ahli iaitu 60 dipilih dan lima dilantik.

Namun drama tidak terhenti di situ sahaja sebaliknya tindakan mahkamah oleh Musa dan kumpulannya diambil selepas dakwaan pihaknya gagal mengadakan pertemuan dengan Juhar.

Setiausaha Sulit kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Abinan Asli berkata, pada 6 Ogos bahawa istana tidak pernah menerima permintaan rasmi atau tidak rasmi daripada Musa untuk mengadakan perjumpaan dengan Juhar.

Istana juga menyangkal dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan bahawa Juhar menyalahgunakan kuasa dan menerima imbuhan untuk membubarkan DUN.

Selain daripada kes mahkamah ini, satu lagi perkara penting  esok ialah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual mengadakan mesyuarat khas untuk menetapkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) selepas keputusan mahkamah sebelah pagi.

SPR mempunyai 60 hari untuk mengadakan PRN.

PRN Sabah akan menyaksikan 73 kerusi DUN dipertandingkan, tambahan 13 kerusi berbanding 60 pada pilihan raya terdahulu selepas Dewan Rakyat meluluskan syor SPR supaya kerusi Dun Sabah ditambah.

MalaysiaGazette mendapati Sabah kelihatan begitu ‘berwarna warni’ malah perang bendera parti di kebanyakan tempat, juga sudah nampak pemimpin tempatan mengadakan mesyuarat di sana sini sambil juga perjumpaan dengan rakyat sedang giat berlaku. –MalaysiaGazette