Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

KUALA LUMPUR – Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi jawatan Ketua Armada yang berakhir semalam memihak kepada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Keputusan itu menunjukkan Wan Ahmad Fayhsal akan memimpin sayap pemuda itu tidak lama lagi.

“Wan Ahmad Fayhsal menang dan Naib Ketua Armada Ceaser Mandela Malakun,” demikian menurut sumber.

Wan Ahmad Fayshal menewaskan pencabarnya Exco Armada, Muzzamil Ismail.

Di Twitter, Ketua Bahagian Bersatu Titiwangsa itu sudah dilihat meraikan kemenangan beliau.

“Terima kasih atas amanah yang begitu besar ini. Fokus kita ialah #penyatuanARMADA dan BERSATU itu sendiri, dan mulakan kerja segera demi rakyat Malaysia terutamanya #AnakMuda,” ciap beliau.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PPBM, Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan Wan Ahmad Fayhsal dipilih sebagai pemenang.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu berdepan pertandingan empat penjuru iaitu dua calon termasuk bekas bosnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahmad dan bekas Ketua Armada Cawangan Sea View Park, Razalif Mohd. Zain.

Namun Razalif dilucutkan kelayakan bertandingan atas faktor tidak cukup setahun menjadi ahli Bersatu walaupun beliau mendakwa telah menjadi ahli parti itu di awal penubuhan pada tahun 2016.

Syed Saddiq pula digugurkan keahlian daripada Bersatu pada 28 Mei lalu atas alasan duduk di bangku pembangkang ketika persidangan pembukaan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu. – MalaysiaGazette