Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Kluster Tawar dan Sala di dua negeri utara Semenanjung semakin menunjukkan sikap agresif hari ini dalam penularan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak tujuh kes positif baharu Kluster Tawar dan dua kes baharu Kluster Sala direkodkan setakat ini.

“Daripada tujuh kes baharu Kluster Tawar itu, empat kes dilaporkan di Kedah dan tiga lagi kes di Pulau Pinang. Ia sekaligus menjadikan jumlah kes dikesan positif Covid-19 bagi kluster itu adalah sebanyak 46 kes dan kesemua kes baharu berkenaan adalah melibatkan generasi ketiga,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sehingga 12 tengahari ini, Noor Hisham berkata, seramai 1,135 orang telah disaring dalam kluster berkenaan dan pecahan saringan mengikut negeri adalah di Kedah sebanyak 918 orang telah disaring dan 39 kes dikesan positif Covid-19.

Manakala katanya, seramai 655 lagi individu berkeputusan negatif Covid-19 dan seramai 224 individu lagi masih menunggu keputusan ujian saringan.

Di Pulau Pinang pula katanya, seramai 208 orang telah disaring manakala tujuh dikesan positif virus tersebut dan 175 lagi individu menunjukkan keputusan ujian negatif manakala 26 lagi individu masih menunggu keputusan.

Justeru itu, jelas Noor Hisham, di Perak sembilan individu disaring Covid-19 setakat ini membabitkan kluster Tawar dan tiada kes positif dikesan dalam kalangan mereka manakala lapan individu adalah negatif sementara seorang lagi individu masih menunggu keputusan.

Menurutnya pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kluster itu dan situasi semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Bagi dua kes baharu Kluster Sala hari ini, ia sekali gus menjadikan jumlah kes positif setakat ini adalah sebanyak enam kes.

“Manakala sehingga 12 tengahari ini, seramai 273 orang telah disaring dalam kluster ini yang mana di Kedah seramai 269 orang disaring dan enam daripadanya dikesan positif sementara 214 individu pula disahkan negatif selain 49 lagi individu masih menunggu keputusan.

“Di Pulau Pinang empat individu telah dilibatkan dalam saringan Covid-19 namun tiada kes baharu positif dikesan dalam kalangan mereka manakala empat individu disahkan negatif,” tegasnya. -MalaysiaGazette