Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya mengutip hasil pembayaran saman sebanyak RM3,852,118 dalam 15 hari pertama tawaran diskaun 70 peratus bermula 1 Ogos lalu.

Ia melibatkan pembayaran melalui pelbagai saluran terimaan pihaknya meliputi seluruh Kaunter JPJ, Kaunter Bergerak JPJ Mobile, Portal dan Kiosk JPJ.

Ibu Pejabat JPJ dalam satu kenyataan berkata, jumlah kutipan itu melibatkan bilangan transaksi sebanyak 51,178 saman selaras dengan pelaksanaan pengurangan saman yang boleh dikompaun sebanyak 70 peratus bermula 1 Ogos lalu.

“JPJ Selangor merupakan yang tertinggi membuat kutipan iaitu sebanyak RM620,157 dengan 8,165 saman telah diselesaikan.

“Sehingga kini juga, jumlah saman yang tertunggak dan masih belum dijelaskan adalah sebanyak 2,404,353 dengan anggaran kutipan selepas pengurangan adalah RM170 juta.

“Bagi saman yang telah disenarai hitam adalah sebanyak 1,794,700,” kata  kenyataan yang sama.

Justeru, JPJ turut mengingatkan orang ramai agar merebut peluang bagi mendapatkan pengurangan saman kompaun sebanyak 70 peratus dan tidak menunggu saat-saat akhir bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Seperti yang telah diketahui umum, saman yang tidak dibayar akan disenaraihitamkan dan kesannya akan menimbulkan masalah ketika berurusan dengan JPJ seperti pembaharuan lesen memandu, lesen kenderaan motor, proses tukar hak milik serta lain-lain lagi.

“Pengurangan saman kompaun JPJ yang bermula 1 Ogos sehingga 31 Ogos ini adalah bersempena dengan bulan kebangsaan dan selaras dengan tema hari kebangsaan 2020 iaitu “Malaysia Prihatin”.

“Pengurangan saman ini juga hanya diberikan bagi kes saman termasuk kesalahan Automated Awareness Safety System (AWAS), tujuh kesalahan utama, OPS Perayaan dan saman lain yang boleh dikompaun,” tegas jabatan itu lagi.-MalaysiaGazette