Pengerusi Persatuan Penghantaran P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhemi Mansor (tengah) bersama ahli badan bukan kerajaan (NGO) dan penghantar makanan FoodPanda menunjukkan aduan yang dibuat sebelum menyerahkannya kepada FoodPanda Malaysia di Ibu Pejabat FoodPanda Malaysia, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 17 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) mempersoalkan tindakan Foodpanda yang telah membuat skim pembayaran gaji baharu tanpa melakukan perbincangan dengan penghantar syarikat itu.

Pengerusinya, Zulhelmi Mansor mendakwa Foodpanda telah menukar dari sistem SPIO atau mengikut pesanan kepada jarak perbatuan tanpa pemberitahuan maklumat secara terperinci kepada penghantar.

“Janganlah buat macam kami tak tahu apa-apa. Mereka semua ini cerdik-cerdik juga walaupun kerja bawa motor saja.

“Foodpanda hanya menerima e-mel daripada syarikat menyatakan sistem itu dikenakan kepada semua penghantar berkuat kuasa 15 Jun 2020,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan ibu pejabat Foodpanda di sini, hari ini.

Sejak hampir tiga bulan pelaksanaan Skim Bayaran Jarak dikuatkuasakan, pihaknya menerima aduan ia telah menjejaskan pendapatan penghantar Foodpanda susulan pengiraan mengikut perbatuan tidak tepat.

“Kami mendapat informasi dari kebanyakan penghantar Foodpanda tidak setuju dan banyak pengurangan daripada penambahan bayaran gaji yang diterima jika sistem pembayaran itu diteruskan.

“Keadaan ini membebankan dan memberi tekanan kepada penghantar susulan sistem pembayaran jarak ini di mana pembayaran upah lebih rendah daripada sistem lama.

“Sistem pengiraan jarak kilometer daripada Foodpanda tidak mengikut pengiraan jarak kilometer yang sebenar,” dedahnya.

Menurut Zulhelmi, setelah beliau membuat perbandingan antara pengiraan jarak Foodpanda dan Google Maps mendapati hampir 50 peratus kurang daripada bacaan sebenar.

“Pembayaran upah mengikut jarak tidak telus dan kebarangkalian penghantar mendapat atau menghantar pesanan di luar kawasan operasi adalah tinggi,” tegasnya.

Sehubungan itu, pihaknya menggesa Foodpanda mengadakan pertemuan dengan pihaknya dan penghantar makanan yang berada dalam badan bukan kerajaan (NGO) ini untuk perbincangan bersama dalam membuat prosedur operasi standard (SOP) baharu itu.

“Kita tidak mahu lagi dengar rungutan golongan di bawah. Hal ini kerana satu-satunya, kami mahu melihat mereka ini dapat menunggang motosikal dalam keadaan selamat dan selalu senang menjalankan kerja mereka di atas jalan raya.

“Kami mohon agar pihak majikan Foodpanda mendengar permintaan ini dan ambil serius akan aduan yang kita kemukakan ini demi kebaikan bersama,” katanya. – MalaysiaGazette