SKMM
SKMM gesa orang ramai manfaatkan Jendela Map bagi mengetahui status liputan rangkaian perkhidmatan jalur lebar di kawasan tempat tinggal.

KUALA LUMPUR- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta semua syarikat telekomunikasi, pemaju hartanah dan syarikat pengurusan bangunan yang telah memeterai perjanjian eksklusif untuk mengambil langkah-langkah pemulihan bagi mengatasi isu perjanjian eksklusif di bangunan tinggi.

Tegasnya, sekiranya gagal, tindakan sewajarnya akan diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan/atau Akta Persaingan 2010.

“SKMM dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memandang serius akan perkara ini kerana ia menyekat hak pengguna akhir untuk memilih perkhidmatan telekomunikasi, boleh mengakibatkan harga perkhidmatan jalur lebar yang tinggi dan kualiti perkhidmatan yang tidak memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan bersama MyCC hari ini.

Tambahnya, baru-baru ini, MCMC telah menerbitkan Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I) untuk memudahkan perancangan dan pembangunan infrastruktur komunikasi di dalam pembangunan hartanah baharu.

Ia melarang sebarang perjanjian eksklusif antara syarikat penyedia perkhidmatan dan pemaju hartanah ataupun syarikat pengurusan bangunan.

“MCMC dan MyCC percaya kerjasama ini akan membawa manfaat jangka panjang kepada pengguna akhir kerana mereka berpeluang untuk memilih penyedia perkhidmatan berpandukan kepada kualiti perkhidmatan atau harga yang berpatutan,” katanya lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai “Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I)”, sila layari pautan di bawah: https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/GARIS- PANDUAN-PERANCANGAN-INFRASTRUKTUR-KOMUNIKASI-GPP-I-2020.pdf – MalaysiaGazette