TLDM.

KUALA LUMPUR – Laporan sebuah akhbar luar negara yang mendakwa berlaku ketirisan dokumen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam Dark Web sedang disiasat secara serius.

Bagaimanapun, Cawangan Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut hari ini mengesahkan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) TLDM sehingga kini tetap berada dalam keadaan utuh di bawah pemantauan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC), Markas Angkatan Tentera Malaysia (MATM).

Kenyataan itu menyusul selepas akhbar berbahasa Inggeris Republik Singapura The Straits Times telah melaporkan artikel bertajuk “Malaysian navy papers put up on Dark Web” bertarikh 17 Ogos lalu.

Markas Tentera Laut menegaskan, TLDM telah mengambil maklum berkenaan dokumen-dokumen yang didakwa berlaku ketirisan di laman Dark Web.

“Setelah dikenalpasti, dokumen-dokumen yang dimaksudkan itu adalah obsolete dan tidak melibatkan dokumen berdarjah yang boleh menjejaskan kesiagaan dan operasi TLDM,” kata kenyataan itu malam ini.

Bagaimanapun kata Markas berkenaan, TLDM tetap menyiasat punca dan sumber ketirisan maklumat tersebut berlaku.

Menurut markas itu, sehingga kini sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) TLDM dalam keadaan utuh di bawah pemantauan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC), MATM

“TLDM memandang serius perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat,” tegas markas itu lagi.-MalaysiaGazette