Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 18 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Jika semalam hanya tujuh kes positif Covid-19 direkodkan, hari ini ia kembali melonjak kepada dua angka dengan 16 kes baharu dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan jumlah kes positif virus itu meningkat kepada 9,235 kes.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan virus berkenaan adalah 185 kes dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.

Tambah Noor Hisham, terdapat 23 kes yang telah pulih pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,925 kes atau 96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Ingin dimaklumkan daripada 16 kes baharu yang dilaporkan, empat adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan semua bukan warganegara.

“Daripada empat kes import itu tiga dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu baru pulang dari Bangladesh dan satu lagi dari Filipina di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Manakala kesemua 12 kes penularan di dalam negara pula melibatkan warganegara Malaysia,” katanya dalam kenyataan jangkitan semasa Covid-19 di kementeriannya di Putrajaya petang tadi.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu, sebanyak empat kes adalah daripada Kluster Tawar dan tiga kes daripada Kluster Sala.

Katanya, terdapat empat lagi kes baharu dari Kluster Tawar direkodkan di Pulau Pinang manakala satu kes adalah kes saringan sign-on kapal yang dilaporkan di Johor.

“Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

“Sehingga kini, terdapat tujuh kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini sekaligus menyaksikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia terus kekal pada paras 125 kes (1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya. – MalaysiaGazette