Foto Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Seri Bung Mokhta Radin r berpelukan meraikan kemenangan calon BN dalam PRK Kimanis.

SLIM RIVER  – Tindakan mendedahkan masalah dalaman parti kepada pihak luar adalah tidak bijak kerana apa pun masalah sepatutnya diselesaikan secara tertutup untuk menjaga nama baik parti.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, apatah lagi bukan mudah untuk parti membina semula reputasi UMNO.

Jelas beliau, semua pemimpin perlu menolak tepi perbezaan, kepentingan peribadi, hormati keputusan presiden dan bekerjasama untuk menang PRN ini atas nama UMNO Sabah bukannya untuk mana-mana pemimpin parti.

“Ingat semasa PRK Kimanis, semangat perjuangan UMNO Sabah begitu utuh dan padu. Kimanis adalah titik kebangkitan UMNO Sabah dan semangat ini harus diterjemahkan dalam PRN Sabah.

“Insya-Allah seluruh jentera BN akan terus berkempen untuk memenangkan calon. Bukan untuk kita tetapi untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

“Saya mendoakan agar Ketua UMNO Sabah, Dato Seri Bung Mokhtar Radin dan seluruh kepimpinan diberi kekuatan dan hidayah untuk memimpin UMNO Sabah dalam memenangi PRN Sabah serta membawa UMNO Sabah ke suatu tahap yang lebih baik.

“Jangan kita bercakaran sesama kita hingga merugikan diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Najmil yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu mengulas tindakan sekumpulan pemimpin Umno Sabah tidak bersetuju dengan pelantikan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam mengetuai jentera Barisan Nasional (BN) Negeri menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.