Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Tindak-tanduk Pas yang sejak kebelakangan ini menimbulkan persoalan, sebenarnya bukan perkara baharu sebaliknya itulah wajah sebenar parti tersebut.

Pas sejak dahulu lagi dikenai sebagai parti play safe, oleh yang demikian Pas akan menjadi pengikut puak mana lebih berkuasa.

Penganalisis politik, Profesor Awang Azman Awang Pawi berkata, Pas bukan parti yang boleh menjadi ketua dalam blok atau satu pakatan politik.

Dalam konteks Kerajaan Perikatan Nasional (PN), Pas sekadar pengikut.

Dalam Muafakat Nasional (MN), meskipun bekerjasama dengan UMNO, Pas sebenarnya lebih mengikut UMNO.

“Jadi, dalam PN yang mana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), maka Pas pun menyokong PN dalam apa cara sekalipun.

”Dulu kita lihat Pas bermati-matian, beriya-iya menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad hingga akhir penggal, lepas itu Pas meninggalkan Mahathir.  Inilah wajah Pas,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan Pas sekali lagi menukar pendirian apabila Parlimen dibubarkan nanti dengan melihat parti mana yang dominan dan boleh memenangi pilihan raya akan datang.

“Mungkin lepas pembubaran Parlimen, kalau UMNO dilihat lebih berkuasa, Pas akan bersama UMNO. Tindak-tanduk Pas akan berubah. Ini bukan perkara baru.

“Pas tidak lebih daripada play safe kepada dua-dua pihak, main politik selamat. Dengan UMNO, ya, dengan Bersatu pun ya sebab hendak kekal berkuasa,” tambahnya.

Artikel berkaitan: Pas sertai Perikatan Nasional

Mengulas mengenai kedudukan UMNO pula, Awang Azman berkata, pendirian parti itu akan lebih terserlah selepas pembubaran Parlimen nanti.

Beliau menjangkakan UMNO akan mendominasi MN – juga menjadi salah satu sebab mengapa UMNO enggan menyertai PN.

“Kalau UMNO menyertai PN, UMNO kena akur dengan kehendak Bersatu. Kalau Bersatu menyertai MN, parti ini perlu akur kepada mana-mana parti yang dominasi.

“Ini termasuk dari aspek kuota kerusi yang bertanding, siapa yang akan bertanding, kawasan mana hendak bertanding. Kalau menang pula, parti yang dominasi akan menentu siapa Kabinet, kuota dan pelantikan Perdana Menteri.

“Ini sangat penting buat UMNO dan inilah yang menyebabkan ia kekal untuk bersama MN,” ulasnya lanjut.

Ditanya adakah kedudukan UMNO sekarang dalam persimpangan, Awang Azman berkata, UMNO adalah sebuah parti yang mempunyai sejarah yang panjang dan merupakan sebuah institusi berpengaruh.

Ia tewas pada pilihan raya umum yang lalu disebabkan isu kepimpinan dan 1MDB serta pengaruh kempen Dr Mahathir.

Hakikatnya, sehingga kini, UMNO masih sebuah parti yang kuat dengan jumlah cawangan dan bahagian terbesar di Malaysia.

“Walaupun pemimpin-pemimpinnya sedang dibicarakan di mahkamah, kita tidak dengar ada cawangan atau bahagian UMNO dibubar.

“Ahli UMNO kekal 3 juta orang,” katanya.

Sedangkan, Bersatu kini berpecah kepada dua.

“Andaikan ahlinya ada 300,000 orang dan UMNO pula 3 juta orang, itupun belum digerakkan dengan menyeluruh.

“Bersatu dengan 300,000 dibahagi dua, diandaikan ada kira-kira 150,000 orang ahli. Jumlah ini dibahagikan pula dengan 180 bahagian. Berapa sahaja?” katanya sambil menambah Bersatu sukar mendominasi kedudukannya sebagai parti Melayu, kecuali berupaya memanipulasi taktikal untuk mengambil alih kerajaan. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. PAS adalah sekadar sebuah parti politik yang kebetulan menggunakan nama Islam.
    Macam seorang manusia yang mempunyai nama seperti Yusuf Islam.
    Jadi cita2 parti ini menepati citarasa sebuah parti politik.

  2. Nama parti pejuang adalah satu kesilapan. Sepatutnya dinamakan sebagai parti kebetulan. Sebab ia lahir secara kebetulan.

  3. Nak tanya rakyat?
    Nak ke ikut menanggung dosa.
    Dan politik Malaysia akan terus huru hara, bila :
    Bersama umno penyamun@kleptokrasi.
    Bersama bersatu khianat.
    Bersama penunggang agama.

    Jangan gadai negara ini dgn pujukan manis pemimpin.

    Najib dah disahkan sebagai perompak.
    Azeez penipu.
    Bersatu sikatak lompat.
    Pas…parti pembohong aktif semalaysia.

Comments are closed.