Tiga PATI Indonesia yang ditemui bersembunyi di Ladang Sungai Tengah, Bandar Penawar, Johor.

KUALA LUMPUR – Dua rakyat Malaysia yang dipercayai bertindak sebagai tekong dan tujuh pendatang asing tanpa izin Indonesia ditahan lewat malam tadi dalam Op Benteng.

Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD) telah menerima maklumat perisikan mengenai kehadiran PATI yang sedang bersembunyi di sekitar Ladang Sungai Tengah, Bandar Penawar, Johor.

Pada jam 8 malam, satu kumpulan Quick Reaction Force (QRF) telah digerakkan ke lokasi bagi membuat serbuan dan telah menahan seorang PATI yang sedang bersembunyi di sebalik pokok sawit, di ladang tersebut.

Tidak lama kemudian, kira-kira jam 9.30 malam, QRF telah menahan sebuah kereta jenis Nissan Sylphy warna hitam yang mencurigakan dipandu oleh dua orang warga tempatan di tepi jalan ladang sawit.

Sejam selepas itu, kelihatan 3 lelaki yang keluar daripada ladang sawit menghampiri jalan raya disyaki PATI untuk menaiki kenderaan tersebut turut ditahan.

Susulan penemuan itu, QRF menggeledah Ladang Sawit Sungai Tengah pada jam 2.30 pagi telah menemui tiga lelaki yang disyaki saki-baki PATI yang sedang bersembunyi di sebalik pokok-pokok sawit.

”Keseluruhan tangkapan adalah melibatkan dua orang lelaki warga tempatan dipercayai sebagai tekong berusia 50 dan 55 tahun serta 7 orang PATI lelaki warga Indonesia berusia 20 hingga 34 tahun yang sedang menunggu untuk balik ke Indonesia,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia.

Menurutnya, keseluruhan nilai rampasan adalah berjumlah RM 36,810.50 melibatkan wang tunai berjumlah RM35,473.50 dan IR 4,713,000.00 (RM 1,337.00) tidak termasuk kereta Nissan Sylphy.

Kesemua tekong dan PATI telah dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang dan pengendalian adalah mengikut SOP COVID-19.

Pasukan meneruskan kawalan keselamatan di persisiran pantai dan laporan tangkapan terhadap kesemua PATI telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai serta akan diserahkan ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut selepas menjalani ujian saringan Covid-19. – MalaysiaGazette