Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra dengan penduduk setempat pada Majlis Ramah Mesra bersama Pengundi sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Slim di PDM Besout 2, Felda Besout 2, Perak. foto AFFAN FAUZI, 19 OGOS 2020

SLIM RIVER – Persiapan gerak kerja Barisan Nasiona (BN) bersama Pas dan Bersatu di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri DUN) Slim telah memasuki gear 5.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana calon parti itu, Mohd. Zaidi Aziz telah menjelajahi keseluruhan 13 Pusat Daerah Mengundi (DM) dengan meliputi kempen 64 peratus.

Namun beliau berkata, Mohd Zaidi  diminta mempergiatkan lagi kempennya dan lawatan dari rumah ke rumah di kawasan DUN itu.

“Cabaran diberikan oleh calon Bebas pada PRK ini berbeza dengan PRK DUN Chini pada Julai lalu.

“Ia agak berbeza dengan calon Bebas di PRK DUN Chini kerana ketika itu keadaan parti yang telah keluar BERSATU tidak sama dengan apa yang ada sekarang.

“Bagaimanapun, semua kekangan dan permasalahan yang ada di Slim ini akan dihadapi kerana seluruh kepimpinan atasan UMNO dan BN telah memperlihatkan komitmen untuk menentukan kemenangan pada kali ini memihak kepada calon BN,” katanya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama Pengundi sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N58 Slim di PDM Besout 2, Felda Besout 2, Perak. foto AFFAN FAUZI, 19 OGOS 2020

Beliau berkata demikian kepada media pada program ramah mesra di Besout 3 di sini, malam tadi.

PRK DUN Slim pada 29 Ogos akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi dan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, daripada parti yang masih belum didaftarkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), 38, dan S Santhasekaran, 44.

Pada 7 Ogos lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan parti baharu yang dikenali Pejuang, yang tiada kaitan dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai presidennya.

Semalam, pemimpin penaja Pejuang menyerahkan permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk mendaftarkan parti itu. – MalaysiaGazette