Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (kanan) diiringi Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyerahkan anugerah tokoh utama kepada penerima, Dr. Fauzi Deraman pada Majlis Sambutan Maal Hijrah peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Hijrah mendidik umat Islam untuk melakukan kerja  dengan baik agar dapat memberi impak bermanfaat kepada masyarakat, tidak hanya berteori semata-mata.

Demikian kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika merasmikan sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan Tahun 1442H /2020M hari ini.

Jelas beliau seorang muslim perlulah berhemah dan berdisiplin  ketika melaksanakan tugas seharian, seiring dengan hijrah Rasulullah yang secara tidak langsung memberi makna kepada kepentingan umat Islam meninggalkan perkara yang dilarang dan melakukan perintah Tuhan.

“Kita tidak mahu berteori dalam kehidupan bekerja kita. Hijrah sudah banyak mengajar kita untuk membumikan gerak kerja kita agar dapat memberi impak yang besar kepada masyarakat.  

“Matlamat bagi Muslim dalam setiap kerjanya adalah melaksanakannya dengan berhemah dan berdisiplin tinggi.

“Individu yang berjaya adalah individu yang sentiasa bersedia dan ada persediaan. Persediaan pula hendaklah rapi dan tersusun; bersifat sistemik dan sistematik,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Dewan Serbaguna, Masjid Wilayah Persekutuan hari ini.

Terdahulu, Zulkifli memetik Saidina Abu Bakar Al-Siddiq sebagai contoh yang tidak berfikir lama untuk membuat keputusan bersama-sama dengan Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa hijrah.

Ujar beliau pelbagai pengajaran dalam peristiwa sejarah ini termasuklah juga tidak mudah berputus asa.

Justeru, beliau menyeru umat Islam untuk sentiasa lihat ke hadapan tanpa berputus asa, bersungguh-sungguh demi Islam, agama dan negara keseluruhannya.

Untuk rekod, tema sambutan Maal Hijrah tahun ini adalah  ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’. -MalaysiaGazette