Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan lelaki warga Perancis yang dikenal pasti memakai gelang merah jambu di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) telah ditempatkan di pusat kuarantin sejak semalam.- Gambar FB.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan lelaki warga Perancis yang dikenal pasti memakai gelang merah jambu di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) telah ditempatkan di pusat kuarantin sejak semalam.

Meskipun lelaki berkenaan negatif Covid-19 namun mengambil kira keputusan kerajaan menarik balik kelonggaran untuk pengembara menjalani kuarantin di rumah maka KKM menempatkannya di pusat kuarantin di Langkawi.

“Beliau tidak bergejala dan ujian saringan Covid-19 di KLIA mengesahkan negatif sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan penerbangan domestik ke Langkawi.

“Beliau termasuk dalam My Second Home Program (MM2H) yang pada awalnya diberi kelonggaran menjalani kuarantin di kediamannya di Langkawi berdasarkan kepada syarat MM2H dikeluarkan pada 25 Jun.Namun, kerajaan mewajibkan semua pengembara yang tiba di Malaysia menjalani kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin, maka syarat mengenai kuarantin di rumah bagi MM2H adalah terbatal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau terdahulu mengesahkan lelaki berkenaan tiba di KLIA pada 8.25 pagi 20 Ogos lalu.

KKM dalam masa yang sama mengucapkan tahniah kepada Pasukan Gerakan Am kerana tangkas mengambil tindakan untuk melaporkan insiden ini kepada Unit Kesihatan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi selain masyarakat yang prihatin dengan perkembangan semasa di persekitaran mereka.-MalaysiaGazette