Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan veteran ATM, Jurugan Buyong pada Majlis Perjumpaan Menteri Pertahanan bersama Warga Veteran ATM sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Dewan Felda Gunung Besout 2, Perak. foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2020.

SLIM RIVER – Kebajikan veteran Angkatan Tentera (ATM) akan diterus ditambah baik bagi memastikan kehidupan golongan itu terbela bermula pada tahun ini, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ia melibatkan jumlah bantuan kebajikan bencana alam yang ditingkatkan kepada RM10,000 berbanding RM5,000 sebelum ini.

Jelasnya, pihaknya juga memperkenalkan elaun bulanan kepada penjaga veteran ATM yang terlantar sakit dengan jumlah elaun yang akan diperincikan kemudian.

“Kementerian akan turut memperluaskan bantuan kemasukan ke universiti untuk anak veteran ATM kepada kemasukan ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) terpilih berbanding terhad kepada kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sahaja ketika ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar kenangan dengan warga veteran ATM pada Majlis Perjumpaan Menteri Pertahanan bersama Warga Veteran ATM sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N. 58 di Dewan Felda Gunung Besout 2, Perak. foto AFFAN FAUZI, 22 OGOS 2020.

“Selain itu, kita dalam cadangan untuk keluarkan kad pesakit kepada semua veteran ATM supaya mereka bukan sahaja boleh dapatkan rawatan di kemudahan kesihatan kerajaan tetapi juga di hospital dan klinik swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada majlis perjumpaan bersama Warga Veteran Angkatan Tentera Malaysia di Dewan Orang Ramai, Felda Besout 2 di sini hari ini. – MalaysiaGazette