KUALA LUMPUR – Terdapat lima kes baharu dilaporkan bagi Kluster Tawar di Kedah seterusnya menjadikan jumlah kes positif Covid-19 kluster itu sebanyak 63 kes.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 2,942 orang telah disaring dalam kluster ini.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini seramai 2,414 telah dilakukan ujian saringan dan 52 didapati positif Covid-19 manakala 135 individu masih menunggu keputusan.

Di Pulau Pinang pula, sebanyak 517 telah disaring dan 11 didapati positif, sementara 63 orang lagi masih menunggu keputusan.

Manakala di Perak, semua saringan adalah negatif dan tiada saringan baharu.

Menurutnya, pengesanan kes dan saringan kontak rapat bagi kluster ini masih diteruskan.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, setakat pukul 12 tengah hari tadi, terdapat lapan kes baharu yang telah dilaporkan, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 9,257 kes.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 183 kes.

Daripada lapan kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan satu warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara.

Tiga kes import tersebut adalah dari negara Bangladesh (1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), Belanda (1 kes di Sarawak) dan Filipina (1 kes di Sabah).

Kesemua lima kes penularan di dalam negara melibatkan warganegara Malaysia iaitu kes daripada Kluster Tawar di Kedah.

Sehingga kini, terdapat lapankes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan empat kes
memerlukan bantuan pernafasan dan tiada pertambahan kes kematian.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes (1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette