Harith Zazamn bermula dengan hantaran klip video di TikTok.

KUALA LUMPUR – Bermula dengan hantaran klip video di TikTok, personaliti media sosial, Harith Zazman berjaya mencuri perhatian peminat apabila mendendangkan lagu ciptaannya, Cute (Stop Lah Being So Cute).

Berbekalkan melodi dan lirik yang ‘catchy’ serta nyanyian bersahaja Harith, hantaran klip video tersebut telah ditonton lebih 1.5 juta kali di aplikasi tersebut.

Malah klip lagu nyanyiannya itu turut digunakan oleh selebriti seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nora Danish, Fattah Amin, Zulin Aziz, Alvin Chong dan Saharul Ridzwan sebagai muzik latar video TikTok.

Sejak dilancarkan secara rasmi pada 19 Jun lalu, lagu nyanyian Harith bersama kumpulan MFMF. dan rapper LOCA B berjaya mencipta fenomena tersendiri apabila muzik video rasmi lagu tersebut berada pada kedudukan pertama carta trending di YouTube dan menjana lebih 2.3 juta tontonan dalam tempoh seminggu.

nyanyian Harith bersama kumpulan MFMF. dan rapper LOCA B.

Sehingga kini, selepas hampir dua bulan berlalu muzik video Cute (Stop Lah Being So Cute) sudah mencapai lebih 7.5 juta tontonan.

Bagi memanjangkan lagi momentum lagu ini, Harith Zazman, MFMF. dan LOCA B menjemput penyanyi dan pelakon terkenal Nabila Razali untuk berkolaborasi menghasilkan versi remix yang diberi judul Cute (Nabila Razali Remix).

Sekiranya lagu Cute (Stop Lah Being So Cute) dinyanyikan daripada perspektif lelaki, kali ini ia diberikan nafas baharu apabila lirik diolah semula menggambarkan subjek dilamun cinta dari perspektif wanita.

Keistimewaan lagu ini bukan sahaja pada kemunculan Nabila yang menambah lagi seri lagu ini tetapi fokus yang diberi kepada penyanyi dan LOCA B dalam menerajui lagu ini menjadikan lagu ini lebih bersifat feminin.

Baru sahaja dilancarkan pada 14 Ogos yang lalu, video muzik rasmi Cute (Nabila Razali Remix) yang diarahkan oleh Harith Zazman sendiri berjaya menjana hampir satu juta tontonan.

Nabila Razali berkolaborasi menghasilkan versi remix yang diberi judul Cute (Nabila Razali Remix).

Mengulas tentang penglibatan Nabila dalam versi remix ini, Brendan Lim yang mewakili kumpulan MFMF., yang turut bertindak sebagai penerbit rakaman ini berkata, pihaknya berbesar hati kerana Nabila sudi terlibat dalam projek ini.

Sebagai penyanyi dan juga pelakon yang berpengalaman, Nabila memberi nilai tambah kepada lagu ini. Bekerjasama dengan Nabila merupakan suatu pengalaman yang unik dan tidak dapat dilupakan,” katanya.

Lagu ciptaan bersama Harith, MFMF. dan LOCA B ini diterbitkan oleh MFMF Productions dan Faithful Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia sebagai pengedar.

Cute (Nabila Razali Remix) boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, iTunes, JOOX, KKBox dan juga Deezer manakala video muzik rasmi lagu ini boleh ditonton di saluran YouTube Harith Zazman. – MalaysiaGazette