Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes-kes gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan segelintir pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan penguatkuasaan khususnya di negerinya.

Titah baginda, tindakan segelintir mereka yang terlibat di dalam jenayah yang tidak bermoral itu telah mencemarkan reputasi dan imej kerajaan dan pihak berkuasa yang terlibat.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, laporan media yang meluas tentang kesalahan jenayah rasuah yang dilakukan ini menggambarkan penolakan rakyat terhadap perbuatan yang boleh menjejaskan kelicinan pentadbiran kerajaan.

Gejala rasuah yang berleluasa akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap kemampuan jabatan-jabatan penguatkuasa dalam melaksanakan tindakan undang-undang di negara ini.

Justeru itu, baginda menasihatkan pegawai dan kakitangan penguatkuasa di semua majlis kerajaan tempatan, Jabatan Agama Islam Selangor dan jabatan kerajaan lain menguatkuasakan undang-undang agar tidak terlibat atau mendekatkan diri dengan rasuah dan perkara-perkara yang membolehkan tohmahan rasuah dan penyelewengan dilemparkan oleh mana-mana pihak.

Ini termasuk juga aspek penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak-pihak tertentu semasa melaksanakan tugas penguatkuasaan.

Perbuatan sebegini, tegas baginda, perlu dielak sama-sekali dari dilakukan.

Baginda bertitah, agama Islam melarang keras perbuatan rasuah dan salah guna kuasa di kalangan mereka yang telah diamanahkan dengan jawatan dan kuasa.

Gejala rasuah merupakan perbuatan mengkhianati amanah negara dan masyarakat.

Lantaran itu, Sultan Selangor menitahkan semua pegawai dan kakitangan penguat kuasa ini menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan berhemah dan mematuhi segala prosedur operasi standard serta  peraturan yang ditetapkan. – MalaysiaGazette