ALANTA – Delta Air Lines Inc akan menawarkan cuti kepada 1,941 orang juruterbang pada bulan Oktober ini kerana prospek pemulihan yang masih suram bagi penerbangan komersial dalam tempoh enam bulan akan datang.

Syarikat penerbangan itu masih mempunyai lebihan juruterbang daripada yang diperlukan walaupun 1,806 orang juruterbang sudah bersara secara sukarela, menurut memo syarikat berkenaan.

Delta berkata, pemberhentian kerja akan dapat dikurangkan atau dielakkan jika syarikat dan persatuan sekerja Air Line Pilots Association capai kesepakatan bagi tujuan tersebut.

“Kami sudah berada dalam tempoh enam bulan pandemik dan kita hanya peroleh 25% daripada pendapatan.

“Malangnya, kita melihat hanya perubahan kecil berlaku dalam tempoh enam bulan akan datang ,” kata John Laughter, Naib Presiden Kanan Operasi Delta Air Lines dalam memo itu.

Tambahnya, kesan pandemik koronavirus sangat dahsyat, merosakkan kehidupan dan ekonomi, tetapi juga menunjukkan pentingnya teknologi dalam membangun masyarakat yang berdaya saing.

Permintaan untuk penerbangan kurang dari sepertiga daripada setahun yang lalu.

Air Line Pilots Association Delta sangat kecewa dengan keputusan itu.

Delta akan kehilangan hampir 4,000 juruterbang, yang dikhuatiri akan menyebabkan syarikat penerbangan berada dalam posisi buruk sekiranya industri kembali pulih.

“Masih belum terlambat bagi pihak pengurusan untuk menyelesaikan perbincangan.Masih belum terlambat untuk mereka mengambil pendekatan yang konstruktif berbanding menggunakan kaedah yang merosakkan,” kata Chris Riggins, jurucakap kesatuan dalam satu kenyataan.- MAlaysiaGazette