Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Walaupun data Jabatan Perangkaan menunjukkan kadar pengangguran telah menurun selepas negara memasuki tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), tetapi keadaan pengangguran masih tidak boleh dipandang ringan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, pengangguran di Malaysia masih mencabar.

Beliau berkata, walaupun Jabatan Perangkaan melaporkan kadar pengangguran telah menurun daripada 5.3 peratus kepada 4.9 peratus, tetapi data lain menunjukkan keadaan tidak menunjukkan penambahbaikan yang memberangsangkan.

“Jumlah tenaga pekerja pada Julai telah berkurangan sebanyak 200,000 orang,” katanya kepada Sinchew Daily.

Shamsuddin berkata, Kementerian Sumber Manusia sendiri mengakui statistik pemberhentian pekerja yang diterima adalah tidak sempurna.

“Keadaan ini berlaku kerana ramai majikan mengurangkan pekerja tanpa memaklumkan Jabatan Tenaga Kerja.

“Selain itu, data dalam Sistem Insurans Pekerja juga tidak tepat sepenuhnya kerana hanya mereka yang memerlukan bantuan akan memohon,” katanya.

Beliau justeru berpendapat jumlah orang yang kehilangan kerja mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Katanya, walaupun kebanyakan perusahaan telah menyambung operasi, tetapi permintaan pasaran masih rendah.

“Jumlah pekerja yang diperlukan perusahaan pada tempoh ini tidak mungkin lebih tinggi berbanding sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sektor perkhidmatan dan pembuatan masih berdepan cabaran dengan angka eksport masih dalam keadaan menurun,” katanya.

Walaupun data menunjukkan ekonomi negara mengecut, tetapi sektor pertanian dan perladangan memerlukan pekerja.

“Dua sektor ini masih kekurangan antara 60,000 hingga 62,000 pekerja pada masa ini.

“Kebanyakan orang tempatan bagaimanapun tidak berminat dan pengusaha berharap mendapat kelulusan untuk menggaji pekerja asing,” kata Shamsuddin.

Pembekuan pengambilan pekerja asing sehingga akhir tahun, kata Shamsuddin, telah menyebabkan kerugian sektor pertanian dan perladangan.

“Sebagai contoh kepala sawit, buah yang sudah masak dan tidak dituai akan rosak.

“Masalahnya, pengusaha kekurangan pekerja pada masa ini,” katanya. – MalaysiaGazette